Sabtu, 12 Januari 2019 | 12:52am
Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino. - Foto Reuters

'Uji bakat' pengurus United di Wembley

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino menolak andaian yang mengatakan aksi bertemu Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Ahad ini sebagai medan 'uji bakat' untuk jawatan pengendali The Red Devils.

Pengurus sementara United, Ole Gunnar Solskjaer akan membawa pasukan bimbingannya ke Stadium Wembley untuk berdepan ujian terbesar buat dirinya sejak mengendalikan pasukan itu yang menyaksikan mereka menang lima perlawanan dalam semua kejohanan.

Media di Britain menghangatkan lagi perlawanan antara United dengan Spurs dengan menyifatkan ia sebagai pertembungan dua calon bagi merebut jawatan pengurus tetap United.

Bagaimanapun, Pochettino menegaskan fokus utamanya adalah memastikan anak buahnya mengutip mata maksimum berdepan semua kelab yang merebut tempat empat terbaik liga.

"Motivasi sudah ada. Apabila kamu menjadi jurulatih atau pengurus, kamu tidak boleh fokus terhadap spekulasi," kata Pochettino yang menyaksikan Spurs kini menghuni tangga ketiga liga di belakang Liverpool dan Manchester City.

"Sudah pasti United hadir untuk menang dan untuk dia (Solskjaer) ia adalah cabaran yang berat bagi membimbing United. Bagi saya, ia adalah cabaran yang sukar membimbing Spurs.

"Kami hanya suka kemenangan dan benci dengan kekalahan. Ia sentiasa mengenai bagaimana untuk menang."

Pochettino turut mendedahkan yang dia berada di Stadium Nou Camp Barcelona pada 1999 ketika bermain bersama Espanyol dan menyaksikan Solskjaer menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan ketika United menewaskan Bayern Munich dalam aksi final Liga Juara-Juara.

"Saya masih ingat detik itu. Saya bersama Toni Jimenez (jurulatih penjaga gol Spurs).

"Saya masih ingat apabila dia menjaringkan gol kedua pada masa kecederaan dan saya menjerit. Ia sesuatu yang menakjubkan apabila pada Ahad ini kami akan bermain menentang mereka," katanya. - REUTERS

Berita Harian X