Ahad, 13 Januari 2019 | 5:12pm
ONG Kim Swee pada perlawanan persahabatan skuad bawah 22 tahun negara bersama MIFA di padang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, semalam. - NSTP/Adzlan Sidek

Aksi di Bangkok ujian sebenar skuad Kim Swee 

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad Bawah 22 tahun negara (B-23), Datuk Ong Kim Swee bakal menggunakan sepenuhnya setiap minit dalam tiga aksi persahabatan di Bangkok bagi membentuk pasukan terbaik sebagai persiapan ke dua temasya terbesar selepas ini.

Dengan Kejuaraan B-22 Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2019 dan Kelayakan Kejuaraan Bawah 23 tahun (B-23) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 menanti mereka, kelibat pemain dengan prestasi terbaik begitu ditagih supaya mereka dapat memberi saingan dalam dua pertandingan terbabit.

"Menerusi aksi persahabatan menentang MIFA semalam, saya dapat menguji beberapa kombinasi dan saya berpuas hati dengan apa yang ditunjukkan pemain. 

"Kita ada tiga perlawanan lagi di Bangkok bagi membolehkan saya menilai dengan teliti barisan pemain saya dengan menentang pasukan lebih baik. Apa yang penting, beberapa kombinasi akan diuji lagi di Bangkok nanti," katanya.

Dalam masa sama, Kim Swee mengakui masih terlalu awal untuk memikirkan mengenai kesebelasan utama yang akan diturunkan bagi dua temasya terbabit meskipun mengakui barisan pemainnya berjaya memperagakan aksi seperti dimahukan.

"Masih banyak lagi kelemahan perlu diperbaiki namun kombinasi di bahagian tengah amat baik terutamanya pada babak pertama menerusi gandingan Muhammad Daniel Amier Norhisham dan Nik Akif Syahiran Nik Mat.

"Pada babak kedua, kita dapat lihat pemain seperti Mohd Fadzrul Daniel, Muhammad Danial Haqim dan Muhammad Zahril Azri turut menunjukkan prestasi baik," katanya.

Pada aksi persahabatan pertama di Stadium Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) semalam, anak buah Kim Swee tewas 1-0 di tangan pendatang baharu Liga Super itu menerusi sepakan penalti Pedro Henrique pada minit ke-12.

Selepas ini, mereka akan bertemu Army United (14 Januari), Bangkok Glass (16 Januari) dan aksi terakhir menentang Ayutthaya United pada 18 Januari.

Berita Harian X