Isnin, 14 Januari 2019 | 8:02am
Penjaga gol Manchester United, David de Gea meraikan kejayaan pasukannya ketika mengalahkan Totteham, awal pagi tadi. - Foto EPA

Solskjaer puji aksi De Gea

LONDON: Ole Gunnar Solskjaer menegaskan, David de Gea layak dilabel sebagai penjaga gol terhebat Manchester United apabila beraksi cemerlang ketika membantu pasukannya menang 1-0 ke atas Tottenham, awal pagi tadi.

Aksi di Stadium Wembley itu membabitkan pertembungan dua ‘calon’ pengendali pilihan untuk menggantikan tempat Jose Mourinho, - yang berakhir dengan pengendali sementara itu muncul selaku pemenang ke atas Mauricio Pochettino.

Marcus Rashford meledak jaringan tunggal pada minit ke-44, dan Paul Pogba juga menampilkan aksi cemerlang, namun kehebatan De Gea dari Sepanyol lebih banyak diperkatakan.

Dia melakukan 11 aksi menyelamat - paling banyak yang pernah dilakukannya dalam perlawanan getir tanpa bolos, sekaligus membuatkan pemain Spurs seolah-olah hilang punca kerana gagal menembusi gawang.

Solskjaer memuji De Gea sebagai ‘penjaga gol terbaik dunia’, namun pada masa sama, turut mengakui kekebalan pertahanan United yang menampilkan semangat berpasukan tinggi.

“Kami memiliki penjaga gol yang di kelab dan saya berpendapat, dia layak mencabar status Edwin (van der Sar) dan Peter (Schmeichel) sebagai penjaga gol nombor satu dalam sejarah,”

“Kemenangan ini cukup manis, semangat berpasukan memang hebat, keyakinan dan aura di bilik persalinan memang menakjubkan,” kata pengendali dari Norway ini.

Solskjaer kini menyamakan rekod pencapaian Matt Busby yang memenangi lima perlawanan pertama apabila mengambil alih tugas mengemudi United.

United ketinggalan lapan mata di belakang Arsenal ketilka Solskjaer mengambil alih tugas selaku pengurus sementara pada 19 Disember, dan kini mereka berjaya menyamakan kutipan 41 mata dengan Gunners.

Selepas 22 perlawanan, Arsenal kekal di tangga kelima dan United masih berada di tangga keenam dengan kedudukkan dipisahkan melalui perbezaan jaringan.

Kedua-dua pasukan kini memburu kedudukan kelompok empat teratas untuk meraih slot ke Liga Juara-Juara. - AFP

Berita Harian X