Jumaat, 18 Januari 2019 | 4:40pm
Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie. - Foto Asyraf Hamzah

PFA tak lepas tangan isu gaji

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie menegaskan pihaknya tidak pernah lepas tangan mengenai pelbagai isu termasuk kes tunggakan gaji seperti yang dibangkitkan 18 pemain Perlis Northern Lions 2 (PNL 2) ketika ini.

Sambil menganggap berlaku salah faham dalam isu itu, Ahmad Amizal mengakui terkilan dengan kenyataan kumpulan pemain itu yang disifatkan secara keseluruhan menyalahkan barisan kepimpinan baharu PFA yang diketuainya.

Justeru, beliau berharap semua pihak termasuk peminat bersabar dan memberi ruang secukupnya untuk pihak pengurusan PFA menyelesaikan kemelut yang melanda selepas baru tiga bulan mengambil alih persatuan negeri itu.

“Macam sebelum ini pun bila kami bincang dengan MFL (Liga Bolasepak Malaysia), memang saya tidak pernah lepas tangan walaupun hakikatnya isu tunggakan gaji ini bukan di bawah pentadbiran saya.

“Saya ambil alih Perlis dalam keadaan satu jersi pun tiada, satu bola pun tiada, jadi bukan satu perkara mudah untuk saya ambil pasukan yang memang kosong.

“Jadi bila isu ini berlaku, seolah-olah macam kami pegang tampuk kepimpinan sudah tiga tahun, sedangkan baru tiga bulan. Kalau anda tengok bayi pun, dalam tempoh tiga bulan tidak boleh buat apa-apa lagi, begitu juga dengan saya,” katanya.

Isu tunggakan gaji skuad Singa Utara bukan perkara baharu, namun ia semakin hangat selepas 18 pemain PNL 2 mendakwa mereka terpaksa melakukan kerja lain termasuk menjadi nelayan untuk menyara hidup kerana belum menerima tunggakan gaji daripada PFA.

Susulan itu, Ahmad Amizal mendakwa empat penaja utama Perlis menarik dari ketika rundingan sudah mencapai tahap 95 peratus.

Berdasarkan laporan Sukan NSTP semalam, beliau turut membuka pintu rundingan untuk kumpulan pemain itu pada 25 Januari ini bagi menyelesaikan kemelut yang melanda.

Selain itu, Ahmad Amizal turut menafikan pengurusan PFA tidak menjaga kebajikan pemain terutama dalam meminta mereka untuk hadir menjalani latihan di ibu negara.

“Pengurusan sudah buat yang terbaik dan kalau nak diikutkan anda kerja 1 hari bulan, anda akan dapat gaji hujung bulan,” katanya.

“Tapi sebelum dapat gaji, anda tak datang kerja, majikan pun tak nak bayar, itu kalau ikut undang-undang. Kalau duit padang pun kami boleh bayar, persiapan di sini (Kuala Lumpur) pun kami boleh selesaikan, takkan mereka datang sini kami tak boleh jaga.

“Saya minta mereka datang saja, mereka tidak datang latihan itu bukan tarikh gaji masuk lagi. Tapi saya tak nak menyalahkan pemain, saya anggap ini sebagai salah faham antara pemain dan pengurusan.”

Berita Harian X