Selasa, 22 Januari 2019 | 1:05pm
Marcus Rashford. - Foto AFP

Rashford kembali 'bernyawa'

LONDON: Impian Marcus Rashford untuk bergelar penyerang bintang di Manchester United hampir berkecai tetapi penyerang England itu kembali menyinar selepas ketiadaan Jose Mourinho.

Selepas tiga tahun mengharungi kempen Liga Perdana Inggeris, Rashford membuat penampilan ke-150 untuk United, Sabtu lalu dan turut meledak gol bagi menyerlahkan potensi dimilikinya.

Tenang merampas bola hantaran pemain Brighton, Pascal Gross, Rashford kemudian melepaskan rembatan lencong untuk mengesahkan kemenangan ketujuh berturut-turut United sejak Ole Gunnar Solskjaer mengambil alih sebagai pengurus sementara.

Sejak kehadiran Solskjaer Disember lalu bagi menggantikan Mourinho yang dipecat, Rashford jelas menjadi antara tonggak kejayaan pasukan itu.

Penyerang muda itu sudah meledak lima gol dalam enam perlawanan terakhir liga selepas ketibaan pengurus dari Norway itu yang menghambur pujian apabila membandingkannya dengan bekas penyerang United seperti Cristiano Ronaldo dan Wayne Rooney.

“Sudah tentu dia boleh menjadi pemain bertaraf dunia. Umurnya baru 21 tapi kematangan yang ditunjukkannya ketika ini lebih daripada 21 tahun,” kata Solskjaer ketika ditanya sama ada Rashford memiliki kemampuan mengikut jejak Ronaldo dan Rooney.

Lahir di pinggir bandar di selatan Manchester, Wythenshawe, Rashford sememangnya ditakdirkan untuk menyertai senarai panjang legenda United.

Dia menyertai kelab gergasi itu pada usia tujuh tahun dan dianggap sungguh berbakat hingga menuntut bekas pengurus, Louis van Gaal menyenaraikannya buat kali pertama dalam kempen Liga Europa menentang Midtjylland pada Februari 2016.

Rashford meledak dua gol pada perlawanan itu, sebelum menjaringkan satu lagi gol bertemu Arsenal dalam penampilan sulungnya di Liga Perdana, meledak pada aksi tetangga dan Liga Juara-Juara hingga disenaraikan dalam skuad kebangsaan England.

Begitupun, sejak ketibaan Mourinho, bakatnya jelas hanya dipandang sebelah mata oleh pengendali dari Portugal itu yang kemudian menyenaraikannya di bahagian sayap bagi memberi peluang kepada Romelu Lukaku sekalipun penyerang Belgium itu tidak konsisten.

Kerja keras bukan satu masalah buat Rashford yang dianggap sungguh berdedikasi dan menghabiskan beberapa jam selepas latihan bagi menajamkan skil yang dimilikinya hingga mendapat pujian rakan sepasukan.

“Marcus ingin belajar. Dia berada di padang latihan sepanjang masa dan pada satu ketika kami perlu mengheretnya keluar, kerana dia mahu berada di sana,” kata pertahanan United, Ashley Young.

“Cukup menakjubkan untuk melihatnya yang memiliki keinginan dan kuat semangat, dia seorang pemenang.” - AFP

Berita Harian X