Rabu, 23 Januari 2019 | 8:14pm
GAMBAR fail penjaga gol FELDA United FC, Norazlan Razali pada sesi latihan. - Foto Osman Adnan

Pemain muda mampu galas tugas

KUANTAN: Penjaga gol FELDA United FC, Norazlan Razali tidak bimbang dan percaya kelab itu mampu memberi cabaran dalam mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim ini.   

Katanya, biarpun sebahagian besar pemain The Fighters dibarisi pemain muda, tiada yang perlu dibimbangi untuk bersaing dengan pasukan lebih berpengalaman. 

"Saya yakin semua pemain akan mempamerkan prestasi dan komitmen tinggi untuk meletakkan kelab ini pada kedudukan terbaik.  Pada masa sama, ada juga pasukan yang turut menyenaraikan pemain muda dan ia agak seimbang dari segi persaingan," katanya. 

Mengulas status penjaga gol utama The Fighters musim ini, Norazlan Razali mengakui penghijrahannya ke FELDA United  bukan jaminan menjadi pilihan jurulatih.

Sebaliknya, pemain berasal dari Johor itu berkata, The Fighters masih memiliki penjaga gol berwibawa untuk menggalas tanggungjawab di benteng terakhir itu. 

"Saya tidak boleh berasa terlalu selesa atau yakin posisi penjaga gol utama musim ini menjadi milik saya jika bersandarkan kepada pengalaman. 

"Ini kerana Mohd Azri Abdul Ghani yang juga penjaga gol bawah 19 tahun negara turut berpeluang mengisi posisi itu selepas mempamerkan aksi cemerlang pada temasya Piala AFF Bawah 19 Tahun di Indonesia tahun lalu. 

"Secara peribadi, masing-masing mempunyai peluang untuk dipilih jurulatih (Mohd Nidzam Jamil) kerana musim ini FELDA United kembali beraksi di Liga Super," katanya. 

Norazlan yang memulakan kerjaya sebagai pemain profesional pada 2006 pernah mengucup Piala Liga Super bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 2014 dan juara Piala Malaysia 2015 ketika mewakili Selangor.

Berita Harian X