Khamis, 24 Januari 2019 | 12:10am
OLE Gunnar Solskjaer. - AFP

Solskjaer jadikan Man Utd 'sangat bahaya'

LONDON: Pengurus Arsenal, Unai Emery berkata Ole Gunnar Solskjaer menjadikan Manchester United pasukan yang lebih berbahaya sejak mengambil alih daripada Jose Mourinho.

Skuad kendalian Emery akan menanti kehadiran United pada pusingan keempat Piala FA awal pagi Sabtu ini dan pengendali dari Sepanyol itu menjangkakan akan ada ujian getir daripada skuad Solskjaer.

Arsenal seri 2-2 berdepan United di Old Trafford pada saingan Liga Perdana bulan lalu, sejurus sebelum Mourinho dipecat selaku pengurus akibat keputusan yang teruk.

Sejak itu, Solskjaer, yang dipinjam dari Molde selaku pengurus sementara, menyaksikan tujuh kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan.

UNAI Emery. - Foto AFP

Pendekatan Solskjaer memenangi hati skuad United yang tampak bosan dengan personaliti Mourinho malah Emery juga kagum dengan apa yang ditunjukkan.

“Ia pasukan yang berbeza. Ia pemain yang sama tetapi mereka kini menampilkan persembahan hebat,” kata Emery hari ini.

“Saya melihat perlawanan terakhir mereka dan setiap pemain memiliki keyakinan tinggi, dengan persembahan baik, dan mereka kini sangat bahaya.” - AFP

Berita Harian X