Jumaat, 25 Januari 2019 | 3:58pm
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal NFDP, Datuk Seri Subahan Kamal. - Foto Yazit Razali

Nafas baharu dalam sistem NFDP

KUALA LUMPUR: Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) bakal berwajah baharu apabila 10 jurulatih terbaik bakal dipilih bagi mengisi beberapa kekosongan sebagai ketua jurulatih remaja negeri (KJRN) dan jurulatih di Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal NFDP, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, penstrukturan program akar umbi berkenaan perlu digerakkan segera bagi memastikan kesinambungan pembangunan pemain muda tidak terbantut selepas sistem NFDP dirombak bulan lalu.

Katanya, bagi memastikan misi penubuhan NFDP tercapai iaitu untuk melahirkan kelompok pemain berkualiti, maka sistem kejurulatihan juga diubah dan sebagai permulaan, jawatan berkenaan turut diiklankan secara terbuka kepada jurulatih yang berminat.

"Adalah jelas gerak kerja yang disusun ketika ini bukan saja dirangka bagi menambah baik pelaksanaan NFDP, bahkan ia lebih telus dan inklusif dengan mengambil kira kepentingan dan suara semua pihak.

"Untuk makluman semua, Jawatankuasa Teknikal NFDP sudah mengiklankan jawatan jurulatih yang masih belum diisi selepas proses penstrukturan semula kejurulatihan di AMD dan NFDP.

"Sebanyak 83 permohonan diterima daripada jurulatih tempatan dan luar untuk mengisi kekosongan itu.

"Malah, hari ini kita sudah menjalankan sesi temu duga calon KJRN untuk mengisi kekosongan di beberapa negeri yang akan diletakkan di bawah tanggungjawab Saad Ichalalene yang dilantik sebagai Pengarah Teknikal NFDP.

"Isnin depan pula kita akan mengadakan temu duga bagi jawatan di AMD yang akan melengkapkan struktur kejurulatihan di bawah Lim Teong Kim selaku Pengarah Teknikal AMD," katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal NFDP, di Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Subahan yang juga Timbalan Presiden FAM turut menjelaskan pasukan AMD kemungkinan bertanding dalam dua kejohanan bawah kelolaan FAM iaitu pertandingan Piala Belia dan Piala Presiden.

"Kita sedar pendedahan amat penting buat pemain AMD, maka Jawatankuasa Teknikal NFDP akan membuat rayuan kepada FAM untuk membenarkan penyertaan pasukan AMD di Piala Belia dan Piala Presiden.

"Walaupun pemain AMD ini ada yang berusia 14, 15 atau 16, ini adalah peluang pendedahan terbaik buat mereka bersaing dengan pemain lebih berusia agar kematangan dalam permainan akan cepat diraih oleh kelompok pemain muda ini nanti," katanya.

 

Berita Harian X