Jumaat, 25 Januari 2019 | 9:18pm
PEMILIK Cardiff City FC, Tan Sri Vincent Tan. - Foto Sairien Nafis

'Kami sudah sedia tingkatkan kerjaya Sala'

KUALA LUMPUR: Kelab Cardiff City FC tidak sabar untuk mencorakkan kehidupan dan kerjaya pemain bola sepak, Emiliano Sala, yang dilaporkan masih hilang, ke tahap seterusnya, menurut pemilik kelab berkenaan, Tan Sri Vincent Tan.

Bercakap buat pertama kali sejak kehilangan pesawat ringan yang dinaiki penyerang dari Argentina itu di Selat Inggeris, Isnin lalu, taikun Malaysia itu berkata mereka yang mengenali Sala menyifatkan anak muda itu sebagai insan yang baik hati dan merendah diri serta teruja untuk menarik perhatian dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Berita petang Isnin lalu amat mengejutkan semua di Cardiff City FC. Kami tidak sabar untuk menyediakan Sala dengan laluan seterusnya dalam hidup dan kerjayanya.

“Sokongan daripada komuniti bola sepak telah benar-benar menyentuh hati dan kami merakamkan tanda terima kasih yang ikhlas kepada mereka yang mengirimkan mesej sokongan.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat dan terus berdoa untuk Emiliano dan (juruterbang) David Ibbotson dan keluarga mereka,” kata Vincent Tan dalam kenyataan yang disiarkan di laman web kelab berkenaan, www.cardiffcityfc.co.uk.

Kenyataan kelab dikeluarkan susulan kenyataan Ketua Pelabuhan Polis Guernsey, Kapten David Barker yang mengesahkan operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan selepas gagal mengesan atau mendapat petunjuk berkenaan pesawat ringan, juruterbang mahupun penumpang.

”Walaupun usaha terbaik dari udara dan aset pencarian dari Kepulauan Channel, United Kingdom dan Perancis dikerah dengan meliputi kawasan seluas 1,700 batu persegi lebih dari sekali dan setelah memeriksa data telefon bimbit dan imej statelit, kami tidak dapat mencari sebarang kesan,” menurut kenyataan Polis Guernsey.

Operasi mencari dan menyelamat itu melibatkan tiga kapal terbang, lima helikopter, dua bot penyelamat serta bantuan daripada pelbagai kapal dagang dan bot nelayan yang merentas perairan selat berkenaan.

Polis Guernsey berkata peluang untuk selamat pada peringkat ini amat tipis dan perkembangan ini telah dimaklumkan kepada keluarga terdekat pemain dan juruterbang tersebut.

Sala, penyerang berusia 28 tahun itu dilaporkan sedang dalam perjalanan menuju ke ibu kota Wales apabila pesawat ringan enjin tunggal Piper PA-46 Malibu yang dinaikinya terputus hubungan berhampiran Kepulauan Guernsey.

Dua hari sebelum kejadian, Sala menjadi pemain termahal kelab itu apabila melengkapkan perpindahan berjumlah €17 juta  (RM79.86 juta) dari kelab Ligue 1, Nantes di Perancis ke Cardiff City.

Sala, yang beraksi di Perancis sejak 2012, muncul penjaring terbanyak kelab dengan 12 gol musim lalu. - BERNAMA

Berita Harian X