Rabu, 30 Januari 2019 | 9:41pm

FAM, FA England bincang kerjasama

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terus melangkah ke hadapan dalam melaksanakan Peta Hala Tuju atau Roadmap FAM 2019-2030 (F:30) apabila mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bolasepak  (FA) England di Stadium Wembley, London semalam.

Antara inti pati pertemuan itu adalah mengenai kemungkinan kerjasama jangka panjang antara kedua-dua persatuan yang merangkumi aspek teknikal dan akar umbi, pembangunan pengadil serta tanggungjawab sosial.

"FAM turut berbincang mengenai peluang untuk belajar daripada The FA berhubung pembangunan pusat latihan kebangsaan yang menjadi sebahagian perancangan FAM dalam beberapa tahun mendatang ini," kata FAM dalam kenyataan hari ini.

"Pertemuan dengan The FA ini adalah salah satu usaha FAM untuk menjalin kerjasama dengan persatuan bola sepak antarabangsa tertentu dari seluruh dunia dalam membantu FAM memajukan bola sepak di Malaysia dan pada masa sama dapat merealisasikan sasaran yang ditetapkan dalam F:30."

Pada pertemuan itu, The FA yang diwakili Pengarah Hal Ehwal Antarabangsa dan Korporat, Robert Sullivan; Pengarah Perhubungan Perlawanan Profesional, Andy Ambler dan Ketua Perhubungan Antarabangsa, Jane Bateman.

Sementara itu, delegasi FAM pula terdiri daripada Presiden, Datuk Hamidin Mohd Amin; Timbalan Presiden, Datuk Mohd Yusoff Mahadi; Setiausaha Agung, Stuart Ramalingam; Exco, Md Dali Wahid selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil serta Ketua Unit Pengadil, Kassim Kadir Bacha.

Turut serta pada pertemuan itu wakil daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) iaitu Ketua Pegawai Eksekutif, Kevin Ramalingam dan Ketua Pegawai Operasi, Mohd Shazli Shaik Mohd.

Berita Harian X