Khamis, 31 Januari 2019 | 6:24pm
PENYERANG Perlis, Safee Sali. - Foto Asyraf Hamzah

Safee tak dapat gaji pertama

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mengambil maklum mengenai rungutan penyerang Perlis, Safee Sali yang masih belum menerima gaji pertamanya sejak menyertai skuad Singa Utara awal Disember lalu.

Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya berkata, penjaring terbanyak Piala AFF 2010 itu ada menghubungi pihaknya bagi mendapatkan khidmat nasihat berhubung tunggakan gaji yang kini memasuki bulan kedua.

Katanya, PFAM cukup kecewa dengan isu itu ketika Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) sebelum ini berjanji tidak akan mengulangi kegagalan pengurusan lama yang gagal melunaskan gaji pemain bagi musim 2016 dan 2017 hingga ke hari ini.

“Kami bukan nak pertikaikan kelayakan Perlis bermain di Liga Perdana kerana itu bidang kuasa MFL (Liga Bolasepak Malaysia) menentukan pasukan mana yang layak beraksi.

“Tapi apa yang kami risaukan ialah mengenai isu tunggakan gaji pemain yang masih tidak lagi selesai sedangkan ia sudah berlarutan beberapa tahun.

“Sekarang timbul pula isu baru membabitkan Safee yang bermain untuk Perlis. Memang dia ada hubungi kami dan menyatakan masih tidak dapat gaji.

“Dengan berita ini, sudah tentu kami selaku persatuan pemain kecewa dengan situasi ini,” katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mula menyertai Perlis pada 7 Disember lalu bersama beberapa pemain berpengalaman termasuk Badhri Radzi, Amiridzwan Taj, Khyril Muhymeen Zambri dan Azmi Muslim.

Difahamkan pada 7 Januari lalu, Safee tidak menerima gaji pertama dengan pengurusan PFA berjanji untuk menyelesaikannya pada hujung bulan.

Namun memasuki bulan Februari esok, PFA masih gagal melunaskan gaji pemain dengan skuad kendalian Manzoor Azwira Abdul Wahid akan membuka tirai Liga Perdana menentang UKM FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Ahad ini.

“PFAM dukacita dengan perkembangan ini dan menggesa Perlis menyelesaikan isu ini dengan segera. Ini tentu sekali akan mengganggu persiapan pasukan untuk musim 2019,” katanya.

Berita Harian X