Selasa, 5 Februari 2019 | 3:58pm
JURULATIH FELDA United, Nidzam Jamil. - Foto Mohd Yusni Ariffin
JURULATIH FELDA United, Nidzam Jamil. - Foto Mohd Yusni Ariffin

'Ikat Selangor macam Stoke seri di Anfield'

KUALA LUMPUR: Jurulatih FELDA United, Nidzam Jamil menyifatkan kejayaan skuad kendaliannya mengikat Selangor pada aksi sulung Liga Super di Stadium Shah Alam, malam kelmarin seperti Stoke seri menentang Liverpool.

"Beraksi di gelanggang lawan berdepan pasukan besar seperti Selangor macam (pasukan kerdil) berkunjung ke Liverpool.

"Ini kerana kalau dapat satu mata di Anfield adalah pencapaian yang besar buat pasukan seperti Stoke (City)," katanya.

Menurutnya, satu mata berharga yang diraih pasukannya daripada gelanggang keramat juara Piala Malaysia 33 kali itu adalah hasil komitmen dan etika kerja yang baik pemain.

"Saya rasa kita cuma perlu percaya dengan apa yang kita buat. Lawan Selangor, jika kita tak percaya yang kita boleh buat, mungkin kita sudah kena 2-0 atau 3-0," kata jurulatih berusia 38 tahun itu.

"Saya tak kata keputusan 1-1 ini kejayaan besar, tapi buat kelab kecil macam kami yang baru membentuk semula pasukan, saya gembira dengan sikap pemain kerana mereka percaya yang mereka mampu buat."

Kapten FELDA United, Hadin Azman muncul penyelamat skuad The Fighters apabila jaringannya pada minit ke-69 sudah cukup untuk memadamkan kelebihan satu gol Selangor yang dihasilkan Antonio German pada penghujung babak pertama.

Selain itu, Nidzam turut memuji persembahan cemerlang Hadin yang membuktikan pemain itu boleh dijadikan contoh terbaik dalam skuad The Fighters.

"Saya tak tahu adakah tugas kapten menambahkan lagi rasa tanggungjawab dia (Hadin). Tapi dia ada karakter dan dia antara pemain yang paling bekerja keras.

"Jaringan yang dia hasilkan pun sangat baik dan saya cuma harap dia dapat kekalkan prestasi sepanjang tahun," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X