Selasa, 5 Februari 2019 | 6:12pm
KETUA jurulatih Perlis, Manzoor Azwira Abd Wahid. - Foto Asyraf Hamzah

Pemain Singa Utara tertekan – Manzoor

KANGAR: Ketua jurulatih Perlis, Manzoor Azwira Abd Wahid  mengakui pemainnya tertekan dengan isu gaji yang hangat diperkatakan sehingga mengganggu fokus mereka  menghadapi perlawanan sulung Liga Perdana menentang UKM FC, malam kelmarin.

Justeru, dia memohon peminat dan media memberikan ruang kepada pengurusan pasukan Singa Utara untuk menyelesaikan kemelut itu.

"Saya akui pemain terganggu dengan isu yang timbul malah hampir setiap hari berita yang keluar di media seakan Perlis ini pasukan yang teruk.

"Malah isu ini bukan memberikan tekanan kepada pemain sahaja, ia juga merunsingkan keluarga mereka sehingga kami terganggu pada perlawanan pertama Ahad lalu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Manzoor berkata, dia berharap pemain bertenang dan tidak terlalu gelabah ketika isu ini sedang hangat diperkatakan media.

"Sebenarnya gaji pemain ini cuma sangkut sebulan sahaja, bukan dua bulan kerana tarikh kemasukan gaji bulan kedua masih belum tiba lagi.

"Apabila lihat isu ini hangat diperdebatkan, keluarga pemain ada yang menghubungi saya bertanya sedangkan pemain masih boleh bersabar tetapi tekanan yang diberikan mengganggu fokus kami.

"Lagipun, bukan Perlis sahaja yang menghadapi masalah ini (gaji tertunggak), pasukan lain juga sama dan saya harap selepas ini pemain tidak terlalu beremosi sehingga melaporkan kepada media," katanya.

PFA menerima tamparan hebat apabila bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali membuat aduan kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) berikutan belum menerima gaji pertamanya.

Berikutan isu tunggakan itu, timbul dakwaan yang mengatakan pemain mereka mahu meninggalkan pasukan itu namun PFA meminta pemain terus bersabar kerana berjanji isu itu akan diselesaikan secepat mungkin.

Berita Harian X