Selasa, 5 Februari 2019 | 8:18pm
PENGURUS sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer. Foto Reuters

Solskjaer pilihan terbaik

LONDON: Ole Gunnar Solskjaer menjalankan tugas ‘menakjubkan’ di Manchester United dan keputusan untuk melantiknya sebagai pengurus sepenuh masa adalah mudah, kata bekas pengurus England, Steve McClaren.

Solskjaer yang menjadi ikon kejayaan United menjulang tiga gelaran utama pada 1999 kembali ke Old Trafford pada Disember lalu susulan pemecatan Jose Mourinho.

Beliau diberikan misi untuk menyelamatkan United pada kempen musim ini dan kehadirannya pantas mencetus impak dengan kelab itu mengharungi 10 perlawanan tanpa kalah sekali gus menerima deretan pujian.

“Menakjubkan. Saya fikir semua orang terkejut dengan pelantikannya,” kata McLaren yang juga bekas penolong pengurus di United. “Ia terbukti dan perpindahan yang sukar dipercayai. 

“Saya mengenali Ole dengan baik. Beliau seorang pemikir. Beliau menakjubkan. Beliau amat bagus dalam berkomunikasi dengan pemain dan saya fikir ia membantu.

“Beliau sudah mengharungi situasi ini, yang mana ramai orang kata tiada apa yang beliau rugi. Tiada tekanan? Ia adalah tekanan yang cukup besar. Ia adalah salah satu daripada tiga kelab terbesar di dunia.

“Jadi, sentiasa ada tekanan untuk menguruskan mereka. Dan saya tahu dengan tekanan ia akan membuatkan kamu untuk menjadi lebih baik dan saya fikir Ole sudah berjaya.

“Bukan saja berjaya tetapi turut bermain dengan mengujakan, tradisi bola sepak menyerang Manchester United,” kata McClaren yang menggambarkan United tidak memiliki pilihan jika prestasi baik pasukan itu berterusan. - Agensi

Berita Harian X