Rabu, 6 Februari 2019 | 7:20pm
KAPTEN FELDA United, Hadin Azman. Foto Khairull Azry Bidin.

'Terlalu awal nilai FELDA United'

KUANTAN: Kapten FELDA United, Hadin Azman yang meledak gol penyamaan ketika seri 1-1 dengan Selangor, Ahad lalu percaya keputusan berkenaan adalah petanda positif buat kelab itu tampil lebih cemerlang.

Bekas pemain Harimau Muda B itu berkata, kejayaan mengutip satu mata memberi gambaran skuad dengan gelaran The Fighters mampu memberi cabaran kepada pasukan yang mempunyai reputasi besar seperti Selangor dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

"Bagaimanapun, saya akui masih terlalu awal untuk menilai FELDA United kerana banyak lagi perlawanan yang perlu dilalui untuk meletakkan kelab ini pada kedudukan terbaik musim 2019.

"Tapi, ia adalah permulaan yang baik kerana musim ini The Fighters dibarisi sebahagian besar pemain muda dan dilabel sebagai pasukan bukan pilihan.

"Oleh itu, kami perlu tampil dengan prestasi lebih baik dan bekerja keras pada setiap perlawanan untuk terus memberi saingan dan meraih keputusan positif," kata pemain kelahiran Kuala Lumpur itu.

Pada aksi sulung FELDA United dalam saingan Liga Super Ahad lalu, Hadin muncul penyelamat apabila jaringannya pada minit ke-69 cukup untuk memadamkan kelebihan satu gol Red Giants yang dihasilkan Antonio German pada penghujung babak pertama.

Mengulas jaringannya berkenaan, pemain berumur 25 tahun itu bersyukur kerana ia membantu pasukannya supaya tidak pulang hampa kerana Selangor musim ini dilihat antara pasukan yang menjadi tumpuan.

"Sebenarnya, kerjasama semua pemain dan tidak mengenal erti putus asa banyak membantu walaupun kami ketinggalan pada separuh masa pertama.  

"Bagi saya sendiri, jaringan yang dihasilkan ini juga sebagai motivasi kerana musim lalu, saya berjaya menjaringkan tiga gol buat The Fighters.  

"Dengan kemampuan menjaringkan gol ini, saya akan melakukan segala-galanya bukan saja untuk diri sendiri, malah pasukan ini," katanya.

Berita Harian X