Khamis, 7 Februari 2019 | 1:47pm

Pemain Perlis pinjam bola, kongsi duit untuk berlatih

KUALA LUMPUR: Skuad Perlis sebenarnya dalam keadaan kronik sejak awal lagi walaupun dilihat gah dengan pembelian beberapa pemain bintang.

 Bukan sahaja dihantui masalah tunggakan gaji, Singa Utara juga terpaksa meminjam bola daripada pasukan lain ketika mula menjalani latihan.

 Pendedahan itu dibuat pemain yang turut mendakwa mereka terpaksa berkongsi duit untuk membeli ais bagi tujuan pemulihan selepas latihan.

 “Kalau tiada duit, berterus terang saja kepada pemain dan bukan berterusan menabur janji.

 “Sebelum pasukan dapat bola daripada penganjur (Liga Bolasepak Malaysia), pasukan terpaksa pinjam bola daripada FELCRA FC ketika latihan di padang UM sebelum ia diambil semula.

 “Bukan itu saja, pemain juga terpaksa beli kolam mudah alih dan ais sendiri.

 “Bagaimana mahu bayar gaji sedangkan kelengkapan asas latihan juga tidak disediakan,” dedah pemain yang enggan dinamakan.

 Rentetan pendedahan ini seakan membuka pekung satu demi satu dan bayangan Perlis bakal lumpuh seakan jelas ketika pemain mula berkira-kira untuk mendapatkan pasukan baharu sebelum tarikh tutup pendaftaran 20 Februari ini.

 Menurut pemain, mereka bukan berkira untuk mengeluarkan wang sendiri namun apa yang dihadapi menunjukkan sejauh mana tahap profesional pengurusan baharu Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).

 “Elaun juga tidak diberikan dan ada satu ketika kami ke Thailand, pemain senior terpaksa berkongsi duit untuk diberikan kepada pemain muda yang tiada duit.

 “Malah kami terpaksa akui yang aksi menentang UKM FC Ahad lalu pun kerana jurulatih dan dia pun memahami apa yang kami hadapi sekarang,” katanya yang mengakui mereka tertipu dengan janji manis pengurusan PFA.

Berita Harian X