Jumaat, 8 Februari 2019 | 12:25am
KETUA Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam dapati badan induk itu mengalami masalah kewangan. - Foto Owee Ah Chun

Peluang PFA perjelas kemelut

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) diberi tempoh sehingga 15 Februari untuk mengemukakan dokumen kewangan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Bukti dokumen itu akan diserahkan kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL pada tarikh yang sama selain mahu memberikan peluang kepada PFA untuk menjelaskan situasi yang membelenggu persatuan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata hasil pertemuan dengan Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie mendapati badan induk itu mengalami masalah kewangan dan pembayaran gaji pemain musim ini.

“Kita sudah memaklumkan kepada PFA sebagai satu peringatan yang 15 Februari ini adalah tarikh di mana kita sebagai sekretariat akan mengemukakan laporan kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi keadaan semasa PFA untuk tindakan susulan.

“Jadi kita bukan sahaja berdepan isu membabitkan PFA tetapi semua pasukan yang mengalami masalah di dalam proses pendaftaran mereka yang berkait dengan kelewatan bayaran-bayaran sepatutnya.

“Untuk makluman, kita sentiasa berhubung dengan kesemua pasukan, mengikuti perkembangan dan cuba memahami isu dihadapi satu-satu pasukan yang dikendalikan pengurusan baharu,” katanya.

Sebelum ini, Perlis yang tewas 1-2 kepada UKM FC pada aksi pembukaan Liga Perdana berada dalam keadaan tidak menentu selepas status kewangan mereka semakin meruncing sehingga gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain.

Dalam perkembangan berkaitan, Kevin mendedahkan PFA bersedia untuk menunaikan tanggungjawab mereka mencari jalan penyelesaian.

“PFA menjelaskan mengapa kelewatan ini berlaku dan pertemuan ini memberikan satu ruang kepada pihak pengurusan mereka dan mereka menyedari tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Berita Harian X