Sabtu, 9 Februari 2019 | 2:26pm
Pemain JDT, Syafiq Ahmad (dua dari kiri) diasak pemain Kuala Lumpur, ketika perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Pemain JDT, Syafiq Ahmad (dua dari kiri) diasak pemain Kuala Lumpur, ketika perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Figueroa kecewa aksi babak pertama

JOHOR BAHRU: Pengurus Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa jelas kecewa apabila pemainnya gagal menyerlah pada babak ketika menewaskan Kuala Lumpur 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Dia yang juga ketua jurulatih skuad Harimau Selatan menyifatkan persembahan babak pertama bukanlah cara JDT beraksi di padang dan ketiadaan Natxo Insa di posisi tengah menjejaskan kelancaran gerakan di posisi itu.

"Kami tidak bermain bola sepak dengan baik pada separuh masa pertama, pemain kerap statik dan hilang punca namun gol pada penghujung babak itu menerusi sepakan penalti menyuntik semangat setiap pemain yang sedar betapa pentingnya mencari kemenangan di tempat sendiri,” kata Figueroa.

"Sebaik babak kedua bermula, kami bangkit dan membaiki beberapa kesilapan malah saya melakukan rombakan kecil dengan menukar pemain, barulah nampak kelancaran gerakan.

"Hasil serangan bertali arus yang dilakukan, kami berjaya mencipta tiga gol pada babak kedua dan saya akui aksi menentang Kuala Lumpur amat sukar kerana mereka kurang menyerang sebaliknya mengambil kesempatan melakukan serangan balas pantas." 

Mengulas persembahan Pemain Paling Bernilai Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2018, Safawi Rasid, pengendali kelahiran Argentina itu menyifatkan pemain berkenaan mempamerkan peningkatan mendadak berbanding aksi pertama ketika menentang Perak dalam perlawanan Piala Sumbangsih, Sabtu lalu.

Malah katanya, bukan Safawi sahaja yang menyerlah sebaliknya aksi Afiq Fazail dan Syafiq Ahmad meningkat dan mempamerkan persembahan berkualiti.

Berita Harian X