Sabtu, 9 Februari 2019 | 2:29pm
Kapten The Fighters, Hadin Azman. - NSTP/Khairull Azry Bidin

Manfaat aksi laman sendiri: Hadin

KUANTAN: FELDA United FC yang dilabel pasukan bukan pilihan musim ini mahu pertemuan dengan PKNP FC di Stadium Tun Abdul Razak (STAR) di Jengka, Maran, malam esok menjadi milik mereka.

Kapten The Fighters, Hadin Azman berkata, kemenangan itu sebagai motivasi selepas kejayaan mengikat Selangor 1-1 pada perlawanan pertama kelab itu, 3 Februari lalu.

"Sudah pasti kami akan memanfaatkan aksi di laman sendiri dan tidak sesekali membenarkan lawan membawa pulang mata untuk meletakkan pasukan ini dalam kedudukan terbaik saingan Liga Super,” kata Hadin.

"Kelebihan beraksi di laman sendiri tidak boleh dipersia-siakan terutama untuk mengembirakan peminat The Fighters yang selama ini memberikan sokongan.

"Bagi meraih tiga mata, kami perlu meningkatkan prestasi dan menambah ketajaman di bahagian serangan."

Sementara itu pemain tengah kelab Jasazrin Jamaluddin percaya misi mencatat kemenangan pertama tidak mustahil direalisasikan.

Katanya, kejayaan mengikat Red Giants menambah lagi keazaman untuk melakukan persembahan yang lebih baik.

"Namun, kami tidak boleh memandang keupayaan lawan kerana PKNP yang tewas 2-0 kepada Kedah juga pastinya tidak mahu pulang hampa," kata Jasazrin.

Berita Harian X