Ahad, 10 Februari 2019 | 8:28pm
Kim Swee (tengah) ketika mengendalikan sesi latihan skuad negara sebagai persiapan menghadapi Kejohanan AFF di Kemboja dari 17 hingga 26 Februari ini. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Kim Swee pening kepala

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad bawah 22 (B-22) tahun negara, Datuk Ong Kim Swee terus berdepan situasi sukar untuk membentuk skuad mantap bagi mengharungi Kejohanan AFF di Kemboja dari 17 hingga 26 Februari ini.

Ia susulan lima pemain - Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam (Kedah), Muhammad Danial Amier Norhisham, Muhammad Zahril Azri Zabri (FELDA United), Mohd Faisal Abdul Halim (Pahang) dan Syahmi Safari (Selangor) - yang dipanggil pengendali kelahiran Melaka itu tidak dilepaskan pasukan masing-masing.

Paling merisaukan Kim Swee sudah pasti bahagian tengah apabila tiga pemain yang tidak dilepaskan (Mohd Fadzrul, Danial Amier dan Muhammad Zahril) adalah pemain di posisi penting itu.

Bagaimanapun, Kim Swee enggan memikirkan mengenai ketiadaan pemain berkenaan, sebaliknya mahu lebih menumpukan kepada pemain yang sedia ada selain sedang memikirkan untuk memanggil kira-kira tiga pemain lagi sebagai ganti.

"Ada 21 pemain dari 26 pemain dipanggil. Kalau ikut angka 21 pemain memang mencukupi tetapi kita pergi kerana angka atau mahu dapat keputusan yang lebih baik.

"Ketiadaan lima pemain agak menyukarkan dan saya risaukan bahagian tengah kerana tiga pemain yang tidak hadir adalah pemain tengah.

"Apapun, saya harap pemain yang ada sekarang boleh buktikan yang mereka mampu mengisi slot yang ditinggalkan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pertama skuad B-22 di sini, hari ini.

Sementara itu, pasukan Liga Malaysia (Liga M) seharusnya berasa malu kepada kelab divisyen kedua Jepun (J2), Fagiano Okayama apabila lebih bersikap terbuka untuk melepaskan penyerang muda negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak menyertai skuad Kim Swee.

Apa tidaknya, ketika saingan J2 bakal membuka tirai 24 Februari ini, Fagiano Okayama nyata tidak berdepan masalah untuk melepaskan Hadi untuk menggalas tugas bersama skuad muda negara.

"Alhamdulillah saya dapat 'lampu hijau' kerana mereka beritahu bukan senang untuk bermain dengan pasukan negara. Pemain di sana pun bukan semua dapat bermain untuk Jepun.

"Jadi ini satu kebanggaan dan mereka gembira saya dipanggil untuk menyertai pasukan Malaysia. Mereka beri sokongan penuh dan mengucapkan selamat maju jaya kepada saya bersama pasukan Malaysia," katanya ketika ditanya tentang reaksi Fagiano Okayama selepas Hadi dipanggil sertai skuad negara.

Berita Harian X