Isnin, 11 Februari 2019 | 1:34pm
Pemain Terengganu FC, Abdul Malik Mat Ariff (kiri) dihalang oleh pemain Pahang, Goulon Herold pada perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Darul Makmur, kelmarin. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Goulon pastikan ketinggiannya sentiasa berguna 

KUANTAN: Pertahanan import Pahang, Herold Goulon akan mempertaruh fizikal yang dimilikinya untuk membantu memperkasakan pertahanan skuad itu termasuk menjaringkan ‘gol kejutan’ menerusi sepakan sudut pada setiap perlawanan.

Ketinggian pemain kelahiran Perancis itu yang mencecah 1.95 meter itu sudah dibuktikan selepas menjaringkan satu gol hasil tandukan ketika skuad Tok Gajah menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-0, kelmarin.

"Saya gembira apabila dapat menjaringkan satu gol selain memastikan jentera pertahanan dapat mengekang asakan lawan untuk memastikan kejayaan buat pasukan.

"Kelebihan ini (ketinggian) akan digunakan sepenuhnya terutama apabila Pahang mendapat sepakan sudut," kata bekas pemain skuad remaja kebangsaan Perancis itu.

Pada pertemuan dengan TFC itu, sepakan sudut penalti yang dilakukan pemain tengah, Saddil Ramdani ditanduk kemas Goulon untuk gol kedua Pahang pada minit ke-51.

Dua gol lagi, masing-masing satu dijaringkan penyerang berbisa, Dickson Nwakaeme pada minit ke-12 dan Norshahrul Idlan Talaha (m-90).

Ditanya peminat akan membandingkannya dengan Damion Stewart yang digelar `kereta kebal', Goulon secara jujur tidak mengenal pemain Jamaica itu.

Namun, dia akan memberikan persembahan yang terbaik pada musim pertama bersama skuad Tok Gajah seperti yang dipersembahkan Stewart.

"Saya juga harap dapat mencapai misi pasukan untuk meraih kejuaraan musim ini termasuk Liga Super," kata pemain berumur 31 tahun itu.

Berita Harian X