Isnin, 11 Februari 2019 | 9:16pm
Jurulatih pasukan bola sepak negara bawah 16, Lim Teong Kim. - Foto Asyraf Hamzah

Khidmat Teong Kim disambung tanpa KPI

KUALA LUMPUR: Adakah khidmat Lim Teong Kim sebagai Pengarah Teknikal Akademi Mokhtar Dahari (AMD) masih relevan? Itu persoalan yang timbul apabila khidmatnya terus dikekalkan tanpa diberikan sebarang tanda aras perlu dicapai.

Akademi yang beliau ketuai itu menempatkan pemain terbaik yang dibangunkan menerusi pelaksanaan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

Mengumumkan perkembangan itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata pihaknya belum mengenalpasti sebarang indeks prestasi utama (KPI) untuk diberikan kepada Teong Kim.

“AMD dianggap tempat dan pusat untuk pemain terbaik dari semua peringkat umur. Tugas Teong Kim di AMD adalah untuk ‘menaik taraf’ pemain dari semua peringkat umur kepada tahap maksimum.

“Tidak ada sebarang KPI tertentu buat Teong Kim sebab kita pun dah gagal ke Piala Dunia. Setakat ini, kita belum kenalpasti lagi sasaran berkenaan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa teknikal NFDP di Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Kontrak bekas jurulatih akademi Bayern Munich itu dijadual berakhir pada 31 Oktober ini. Kegagalannya pada Kejuaraan B-16 tahun lalu menyaksikan dia kehilangan jawatan pengarah teknikal yang diambil alih oleh Saad Ichalalene.

Pada mesyuarat jawatankuasa berkenaan, MSN menetapkan Teong Kim akan mengetuai AMD dalam lima peringkat umur iaitu bermula bawah 13 (B-13) hingga B-17.

Sementara itu, mesyuarat berkenaan juga bersetuju untuk melantik tujuh jurulatih bagi mengisi jawatan ketua jurulatih, pembantu jurulatih dan jurulatih penjaga gol untuk AMD.

Selain itu, ia juga bersetuju melantik ketua jurulatih remaja bagi negeri Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor.

Berita Harian X