Selasa, 12 Februari 2019 | 12:52pm
BEKAS Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Kamarudin Abdullah. - Foto NSTP

FAM perlu peraturan baharu lepaskan pemain

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disaran mewujudkan peraturan baharu bagi mewajibkan semua pasukan negeri atau kelab melepaskan pemain masing-masing sekiranya dipanggil untuk tugasan bersama skuad negara.

Ia susulan masalah enggan melepaskan pemain kini dilihat menjadi 'trend' dalam kancah bola sepak negara selain isu tunggakan gaji dan mutu pengadilan yang sering menjadi pertikaian beberapa pihak.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Kamarudin Abdullah menjelaskan masalah itu tidak akan selesai selagi badan induk bola sepak negara tidak bertindak tegas dalam menangani isu berkenaan.

Sambil menyifatkan ia satu isu yang memalukan, Kamarudin berkata masalah berkenaan seolah-olah menunjukkan pasukan negari atau kelab ada masalah dengan FAM.

"Persatuan negeri atau kelab juga seperti tidak menghormati FAM sedangkan FAM itu badan induk. Satu penghinaan juga bagi FAM bila benda seperti ini berlaku dan adakah FAM tidak boleh buat apa-apa?

"FAM sepatutnya lebih tegas dengan mewujudkan satu peraturan untuk mewajibkan setiap pasukan melepaskan pemain mereka ke latihan pusat apabila diperlukan.

"Saya cukup sensitif apabila ada kes seperti ini kerana apa gunanya persatuan negeri dan kelab jika tidak boleh menyediakan pemain untuk pasukan negara?," katanya kepada BH Sukan, semalam.

Kelmarin, lima pemain - Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam (Kedah), Muhammad Danial Amier Norhisham, Muhammad Zahril Azri Zabri (FELDA United), Mohd Faisal Abdul Halim (Pahang) dan Syahmi Safari (Selangor) - yang dipanggil Datuk Ong Kim Swee untuk latihan pusat skuad bawah 22 (B-22) tahun didakwa tidak dilepaskan pasukan masing-masing.

Antara alasan utama yang diberikan pasukan adalah mereka tidak wajib untuk melepaskan pemain yang dianggap penting itu kerana kejohanan yang disertai skuad negara diluar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Justeru, Kamarudin berkata peraturan baharu di bawah FAM penting untuk memaksa semua pasukan melepaskan pemain sama ada kejohanan yang bakal disertai skuad negara berada dalam kalendar FIFA atau tidak.

"Peraturan FIFA itu biarlah, yang bawah FAM sendiri kena ada satu peraturan lain untuk memastikan setiap pasukan patuh terhadap kehendak FAM. Jika tidak, masalah ini tak akan selesai.

"Kalau semua pasukan tak nak lepas (pemain) bagaimana? Takkan nak hantar pasukan kampung bertanding? Demi negara kita kena bertegas kerana yang nak menyertai kejohanan itu bukan FAM, tapi atas kepentingan negara," katanya.

Berita Harian X