Selasa, 12 Februari 2019 | 12:58pm
MAURICIO Pochettino

Pochettino terdesak buru kemenangan

LONDON: Mauricio Pochettino nyata terdesak memburu kemenangan untuk membuktikan kemampuan sebenar Tottenham menjelang kunjungan Borussia Dortmund ke Wembley dalam saingan Liga Juara-Juara pagi esok.

Pochettino mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan lima musim untuk menjulang gelaran namun nalurinya untuk berentap dengan pasukan elit di peringkat Eropah tidak pernah pudar.

Sejak mengendali Spurs pada Mei 2014, skuad Pochettino tidak pernah melepasi peringkat 16 terbaik sama ada dalam kancah Liga Juara-Juara mahupun Liga Europa.

Pada jam 4 pagi esok waktu Malaysia, pendahulu Bundesliga, Dortmund, akan berada di Wembley untuk berdepan anak buah Pochettino yang mungkin juga sentuhan terakhirnya musim ini bersama kelab utara London itu.

Ini kerana Pochettino, masih calon hangat yang dikaitkan akan membimbing Manchester United pada penghujung musim ini.

Meskipun Ole Gunnar Solskjaer makin menunjukkan taringnya di Old Trafford, Pochettino kekal diintai banyak kelab handalan lain termasuk Real Madrid yang kini turut dikaitkan untuk memancing khidmatnya.

"Kami semua berasa bangga dengan pencapaian yang kami lakukan, prestasi skuad ini amat menakjubkan. Kami menyerlahkan karakter ketika berdepan pasukan handalan dengan kualiti yang sagat bagus dan berjaya merapati kedudukan setanding mereka.

“Kami berharap dapat kekal meneruskan rentak kemenangan itu dan terus memburu kemenangan besar selepas ini,” katanya.

Meskipun Spurs mengecapi banyak kemajuan sejak dibimbing Pochettino, namun mereka masih diselubungi kebimbangan mengenai peluang pasukan itu selepas hanya menjulang tiga trofi dalam tempoh 28 tahun lalu.

Kini biarpun peluang Spurs menduduki tangga keempat liga tempatan dilihat kian kukuh, namun segelintir penyokongnya tetap sangsi jika Pochettino melangkah keluar tanpa menjulang sebarang trofi. – AFP

Berita Harian X