Selasa, 12 Februari 2019 | 1:06pm
PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA).

KFA tak pernah dendam FAM

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menegaskan tindakan tidak melepaskan pemain muda, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam menyertai skuad bawah 22 tahun (B-22) negara bukan sebab berdendam dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ia susulan terdapat beberapa dakwaan KFA enggan melepaskan tonggak tengah Helang Merah itu kerana dendam terhadap badan induk bola sepak negara berikutan isu perpindahan kontroversi Akhyar Rashid ke Johor Darul Ta'zim (JDT) awal musim ini.

Sebaliknya, Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris menjelaskan khidmat Mohd Fadzrul sangat diperlukan ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M).

Malah, beliau juga megesahkan KFA sudah memaklumkan secara rasmi kepada FAM mengenai keputusan tidak melepaskan Mohd Fazrul menyerti kem latihan pusat kendalian Datuk Ong Kim Swee yang bermula kelmarin.

"Buat masa ini barisan kejurulatihan sangat memerlukan dia (Mohd Fadzrul) untuk saingan liga kerana semua tahu yang Kedah masih dalam proses memantapkan pasukan.

"Bukan sebab dendam (kes Akhyar), kami di pihak pengurusan KFA profesional dan FAM juga profesional. Malah, kami berhubung dengan baik bersama FAM dalam urusan lain.

"Pasukan Kedah tahun ini masih baharu, keserasian antara pemain pun tidak kuat sangat dan mungkin selepas ini kami akan bagi kerjasama buat FAM untuk melepaskan pemain yang dipanggil," katanya kepada BH Sukan, semalam.

KFA sebelum ini dilaporkan tidak berpuas hati dengan keputusan FAM dalam menetapkan nilai pampasan latihan sebanyak RM75,000 yang perlu dibayar untuk mendapatkan Akhyar.

Keadaan itu memaksa KFA membawa kes berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dengan sehingga kini kes berkenaan masih belum diselsaikan.  

Selain Mohd Fadzrul, empat lagi pemain - Muhammad Danial Amier Norhisham, Muhammad Zahril Azri Zabri (FELDA United), Mohd Faisal Abdul Halim (Pahang) dan Syahmi Safari (Selangor) - juga tidak dilepaskan pasukan masing-masing untuk menyertai skuad B-22.

Ia menyaksikan Kim Swee berada dalam situasi sukar untuk membentuk skuad mantap bagi mengharungi Kejohanan AFF di Kemboja dari 17 hingga 26 Februari ini.

Berita Harian X