Sabtu, 16 Februari 2019 | 11:29am
PEMAIN Bayern Munich, Franck Ribery pada saingan Liga Jerman awal pagi tadi. - Foto Reuters

Bayern dipaksa 'mandi peluh' atasi Augsburg

BERLIN: Bayern Munich menjaringkan gol sendiri paling pantas dalam sejarah Bundesliga dan dipaksa bermandi peluh sebelum menjamin kemenangan 3-2 ke atas Augsburg dalam saingan Liga Jerman awal pagi tadi sebelum mereka dijadual berkunjung ke Liverpool untuk aksi pertama 16 terbaik Liga Juara-Juara minggu depan. 

Menjelang pertemuan Selasa ini di Anfield, pengendali Liverpool, Jurgen Klopp pastinya mempunyai minat ke atas corak permainan Augsburg - pasukan yang berada satu anak tangga daripada zon penyingkiran - mampu mengucar-kacirkan Bayern. 

Kemenangan di laman lawan bermakna juara bertahan Bayern kini semakin mengurangkan jarak dengan pendahulu Borussia Dortmund kepada dua mata sebelum pesaing mereka itu bakal bertemu pasukan tercorot, Nuremberg, Selasa ini. 

Dengan tumpuan kini terarah ke Anfield, penjaga gol Bayern, Manuel Neuer kini kembali dalam pasukan selepas direhatkan tiga perlawanan kerana kecederaan jari namun dia melepaskan dua gol dalam tempoh 24 minit awal - dengan yang pertama selepas hanya 13 saat. 

PEMAIN Bayern Munich selepas menang 3-2 ke atas Augsburg dalam saingan Liga Jerman awal pagi tadi. - Foto Reuters

Leon Goretzka menjaringkan gol sendiri yang juga rekod jaringan sendiri paling pantas dalam Bundesliga ketika dia secara tidak sengaja menolak bola ke gawang sendiri. 

"Saya tidak ingat mengenai perlumbaan yang teruk daripada kami," kata jurulatih Bayern, Niko Kovac. "Kami perlu bermain dengan lebih baik di Liverpool."

Kemenangan itu bagaimanapun turut menerbitkan kebimbangan buat pasukan apabila Kingsley Coman - yang menjaringkan gol Bayern pada babak pertama - cedera ketika saat akhir permainan. 

"Kami perlu melihat keadaannya, tetapi ia tidak begitu baik," kata Kovac. Coman meledak jaringan penyamaan pada babak pertama bagi menafikan jaringan sendiri oleh rakan sepasukannya dan ketika pemain kebangsaan Korea Selatan, Ji Dong-won meletak Augburg di depan. 

David Alaba menjaringkan gol kemenangan Bayern pada awal babak kedua namun tentunya Bayern harus memperbaiki kelemahan sebelum berkunjung ke Liverpool. 

"Gol yang dilepaskan itu sangat teruk," kata kapten Bayern, Neuer. "Kami pernah berkata yang kami mahu bertahan dengan baik dan kami tidak mampu melakukannya. 

"Liverpool sebuah pasukan yang kuat dan sering melakukan serangan. Kami harus melakukan yang lebih baik, nasib baik kami mempunyai beberapa hari untuk mempamerkan peningkatan." - AFP

Berita Harian X