Khamis, 21 Februari 2019 | 11:08am
GAMBAR fail, Piya bersalaman dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Datuk Amizal Shaifit Ahmad Rafie. - Foto ihsan MY Soccer League

Tindakan batalkan penyertaan Perlis tepat

 

KUALA LUMPUR: Bekas pemain Perlis menganggap tindakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membatalkan penyertaan Singa Utara dalam Liga Malaysia (Liga M) sebagai tindakan yang tepat dan harus dijadikan pengajaran kepada pasukan lain.

MFL semalam membatalkan penyertaan Perlis selepas mendapati pasukan berkenaan tidak mempunyai kewangan kukuh termasuk berdepan masalah tunggakan gaji sejak awal musim ini. 

Bekas perancang tengah Singa Utara, Mohd Badhri Radzi menjelaskan hukuman itu memang sepatutnya di ambil MFL bagi mengelak lebih banyak masalah yang timbul termasuk mengenai masa depan pemain.

"Ia pengajaran kepada pasukan lain supaya benda seperti ini tidak berlaku lagi. Setiap pasukan perlu jujur, kalau tiada duit cakap tiada duit dan usah tabur macam-macam janji.

"Bila berlaku kes macam ini ia pasti merosakkan bola sepak Malaysia. Contohnya ia satu kerugian buat pasukan lain yang sudah menang (ke atas Perlis)," katanya kepada BH Sukan, semalam.

Selain berdepan masalah gaji, Perlis juga didakwa gagal melunaskan beberapa perbelanjaan lain termasuk jumlah sewa padang di latihan di Universiti Malaya (UM).

Untuk rekod, Singa Utara dinaikkan pangkat ke Liga Perdana musim ini selepas Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) berjaya meyakinkan MFL dengan perancangan awal mereka untuk menjadi pesaing utama termasuk mengikat beberapa pemain berstatus bintang. 

Sementara itu, bekas penyerang kebangsaan Safee Sali pula berpendapat tindakan Perlis boleh 'membunuh' pemain khususnya mereka yang baharu saja terbabit dalam arena bola sepak profesional.

"Bagi pemain seperti saya mungkin ada pasukan mahu tetapi kalau pemain muda? Tolonglah fikirkan kepada pemain muda yang baharu ceburi bola sepak secara profesional," katanya.

"Itu membunuh karier dan semangat pemain muda. Sebenarnya itu yang saya risaukan kerana merekalah yang akan warisi pemain sekarang. Kalau kita bunuh semangat dan karier mereka, siapa yang akan ganti tempat kami selepas ini?."

GAMBAR fail, Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie (tengah) bergambar bersama Safee Sali (kiri) dan Ketua Jurulatih Perlis, Manzoor Azwira Abd. Wahid (kanan) sebagai simbolik penyertaan Safee Sali bersama Perlis FA selepas sidang media di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi pada Disember tahun lalu. - Foto Asyraf Hamzah

Berita Harian X