Khamis, 21 Februari 2019 | 6:44pm
PEMAIN Kedah ketika menjalani latihan di Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti. - Foto Amran Hamid

Aidil jangka Kedah 'mandi peluh' esok

ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak mahu semua pemainnya terus fokus dan bersedia sepenuhnya untuk berdepan pendatang baharu PJ City FC pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), esok.

"Kita menjangkakan satu pertembungan yang sengit malam esok, skuad baharu PJ City FC adalah pasukan penuh disiplin dan telah menunjukkan persembahan bersemangat dengan menewaskan PKNP FC baru-baru ini."

"Mereka berjaya menunjukkan kebangkitan dalam aksi sebelum ini dan pastinya mereka akan mempertingkatkan lagi tahap permainan tambahan pula apabila bertemu kita di laman mereka nanti."

"Namun dengan kerja keras serta persiapan yang kita telah lakukan, saya yakin skuad kita mampu membuktikan kehebatan memburu kejayaan di tempat lawan kali ini."

Aidil turut mengakui skuadnya perlu mengekalkan disiplin untuk menangkis jentera serangan PJ City yang dilihat mampu memberi ancaman menyekat hasrat Kedah mendapatkan tiga mata di Stadium MBPJ itu.

"Kita harus sedia mematahkan serangan dua penyerang berbisa mereka dan juga tidak boleh leka serta melakukan kesilapan terutama apabila berhadapan serangan balas."

Kedah setakat ini sudah menghasilkan tujuh gol dengan satu gol bolos daripada tiga perlawanan dan ini meletakkan skuad Lang Merah berada di puncak liga pada minggu ini.

Berita Harian X