Jumaat, 22 Februari 2019 | 5:52pm

Perlis tetap kena bayar gaji pemain - PFAM

KUALA LUMPUR: Meskipun disingkirkan daripada saingan Liga Malaysia (Liga M), namun pengurusan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) tidak boleh ‘lari’ dan wajib menyelesaikan segala isu bayaran gaji pemain yang membelenggu mereka secepat mungkin.

Justeru, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) menerusi satu kenyataan mengharapkan PFA dapat memanfaatkan ‘talian hayat’ yang diberikan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi membuktikan komitmen untuk menyelesaikan masalah ini sekali gus membolehkan nasib pemain terus terbela dan tidak diabaikan. 

“Selepas berlakunya situasi sebegini, ia amat mendukacitakan. Ini adalah penganiayaan yang besar kepada pemain dan PFAM menggesa agar pihak pengurusan PFA bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah ini. 

“PFAM mahukan agar hak dan kebajikan pemain Perlis terjaga dan dibela. Sehubungan itu, pengurusan PFA perlu tampil dan menyelesaikan isu ini secepat mungkin. 

“PFAM meminta pengurusan PFA tidak lepas tangan dalam menyelesaikan kemelut ini. Ini adalah tanggungjawab yang harus dilunaskan tanpa sebarang kompromi,” kata PFAM dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai penyingkiran pasukan itu, PFAM menyifatkan ia sebagai satu lagi kegagalan pengurusan bola sepak pasukan tempatan yang sekali gus menunjukkan tahap profesionalisme yang amat mengecewakan.

“PFAM menghargai ketegasan dan komitmen MFL untuk memastikan pasukan sentiasa mengikut peraturan dan bersikap profesional dalam menyelesaikan isu berkaitan hak dan kebajikan pemain.

“Perlu diingat, tindakan yang diambil oleh MFL ini bukanlah dibuat secara serta-merta tetapi dibuat selepas memberikan beberapa peluang dan juga selepas meneliti setiap dokumen kewangan yang dilampirkan. 

“Ini bermakna secara profesionalnya, pengurusan PFA gagal melaksanakan apa yang mereka sendiri janjikan,” katanya.

Berita Harian X