Isnin, 25 Februari 2019 | 11:32am
Marcus Rashford. - Foto EPA
Marcus Rashford. - Foto EPA

Solskjaer berang 'layanan' Reds terhadap Rashford

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mempersoalkan ‘layanan’ pertahanan Liverpool terhadap penyerangnya Marcus Rashford ketika pertembungan kedua-dua pasukan di Old Trafford, semalam.

Rashford mengalami masalah buku lali di awal permainan susulan terjahan pemain tengah Liverpool, Jordan Henderson tetapi beberapa siri kecederaan terhadap pemain lain menyaksikannya terpaksa meneruskan permainan.

United kehilangan tiga pemain sebelum rehat akibat kecederaan hamstring yang memaksa Rashford meneruskan aksi sehingga wisel penamat sebelum akhirnya menunjukkan tanda-tanda kurang selesa.

“Saya fikir dia... kamu tidak boleh cakap yang kamu menjadi sasaran tetapi kamu boleh cakap ada beberapa kekasaran terhadapnya,” kata Solskjaer. “Secara normal kamu boleh mengeluarkannya selepas lima minit... dia (Henderson) terus meluru kepadanya dan buku lalinya mengalami kesakitan.

“Kemudian Ander Herrera dan Juan Mata dikeluarkan jadi sudah tentu kami tidak boleh mengambil risiko untuk menggantikannya juga dan berharap apa yang dialaminya tidak begitu serius.

“Itu hanya satu daripada banyak kekasaran yang diterima olehnya. Tetapi dia seorang pejuang, dia pemain Manchester dan tahu apa maknanya. Kami perlu mengekalkannya di atas padang kerana kami sudah menggunakan tiga pemain gantian,” kata Solskjaer yang berpendapat pengadil sepatutnya mengambil tindakan lebih keras bagi melindungi penyerang England itu.

Solskjaer yang memegang jawatan secara sementara sejak pemecatan Jose Mourinho, Disember lalu begitupun mengakui gembira dengan persembahan pemainnya terutama pada babak kedua menentang pendahulu liga itu.

“Saya amat kagum dengan pasukan saya hari ini, sikap mereka, terutama karektor yang kami tunjukkan sekali pun dilanda pelbagai kesukaran,” kata pengendali dari Norway itu dengan skuad kendaliannya masih belum tewas dalam kancah liga sejak ketibaannya di Old Trafford. - REUTERS

Berita Harian X