Selasa, 26 Februari 2019 | 11:53am
Hadin (kanan) sudah jaringkan tiga gol dalam empat perlawanan Liga Super setakat ini. - NSTP/Effendy Rashid
Hadin (kanan) sudah jaringkan tiga gol dalam empat perlawanan Liga Super setakat ini. - NSTP/Effendy Rashid

Latihan sepakan berbaloi - Hadin

KUANTAN: Kapten FELDA United FC, Hadin Azman yang sudah mencetak tiga gol dalam empat perlawanan Liga Super setakat ini berazam menambah ketajamannya di depan pintu gol lawan selepas ini dalam memastikan The Fighters terus digeruni lawan.

Lebih menggembirakan, bekas pemain Harimau Muda B itu berkata, dua gol yang dijaringkan daripada sepakan percuma pada perlawanan dengan PKNP FC dan Perak, masing-masing mencatat keputusan seri 1-1.

Mengulas dua jaringan hasil daripada sepakan percuma itu, Hadin berkata, latihan sendiri selepas berakhir setiap sesi latihan bersama pasukan membuahkan hasil positif.

"Kebiasaannya, saya melakukan sepakan percuma dengan bantuan penjaga gol antara 15 hingga 30 minit untuk mempertingkatkan teknik sepakan.

"Walaupun sepakan percuma itu tidak dilakukan setiap kali latihan, saya sentiasa melakukan latihan untuk dapatkan sudut terbaik terutama memastikan keputusan positif diraih buat The Fighters pada setiap perlawanan.

"Sebagai pemain, saya gembira kerana inisiatif latihan sepakan percuma sendiri berbaloi kerana dua daripada tiga gol itu hasil daripada sepakan percuma," katanya.

Hadin kini berkongsi penjaring terbanyak Liga Super bersama penyerang Pahang, Dickson Nwakaeme dan Gonzalo Cabrera Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan tiga gol.

Selepas empat perlawanan, The Fighters menduduki tangga kesembilan dengan mengutip tiga mata.

Mengulas kejayaan meraih satu mata di Stadium Perak Sabtu lalu, Hadin berkata, keputusan seri 1-1 dengan Bos Gaurus itu amat bermakna selepas tewas 0-4 kepada Kedah pada perlawanan sebelumnya.

Katanya, kejayaan mengutip satu mata dalam dua perlawanan berturut-turut di tempat lawan turut memberi motivasi kepada semua pemain.

"Oleh itu, saya harap perlawanan dengan PJ City FC di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka, Maran Sabtu ini, mampu mencatat kemenangan pertama FELDA United musim ini," katanya.

Berita Harian X