Selasa, 26 Februari 2019 | 6:57pm
Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie. - Foto Supian Ahmad

Terlepas pandang atau sengaja tak tandatangan kontrak

 

KUALA LUMPUR: Adakah bekas Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie dengan sengaja enggan tandatangan kontrak pemain Perlis Northern Lion 2 (PNL2) atau ia hanya disebabkan faktor terlepas pandang?

Persoalan itu kini timbul selepas PNL2 mendakwa Ahmad Amizal sendiri mengaku bahawa kontrak mereka itu tidak sah kerana dia tidak menandatanganinya. 

Jika ia disengajakan, secara tidak langsung ia mungkin ada unsur penipuan terancang dan jika ia terlepas pandang, agak sukar diterima kerana setiap perjanjian pasti membabitkan banyak pihak.

Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Ridzuan Sheikh Ahmad berkata, jika benar ia tidak disengajakan, bagaimana semua pihak terbabit termasuk peguam dan setiausaha PFA turut gagal mengesan kontrak berkenaan belum lengkap.

"Apa-apa perjanjian perlu babitkan kedua-dua belah pihak tetapi kalau betul itu berlaku (disengajakan) ia satu penipuan dan menunjukkan ada rancangan untuk menipu. Yang kita takut adalah benda ini dirancang.

"Tetapi saya rasa ia berlaku kerana terlepas pandang namun perkara ini akan babitkan banyak peringkat sebelum menurunkan tandatangan. Ia akan babitkan setiausaha, peguam dan pegawai berkaitan. 

"Tetapi katakan presiden (terlepas pandang) belum tandatangan, setiausaha atau peguam akan tunjukkan yang kontrak itu belum ditandatangani. Kalau semua orang terlepas pandang, maka belum lagi profesional lah," katanya ketika dihubungi.

Semalam seramai 18 pemain PNL2 membuat dua laporan polis terhadap pihak pengurusan PFA berhubung dakwaan penipuan kontrak dan penyelewengan wang pemain.

Bekas Kapten PNL2, Ezzrul Ikmanizar Abd Rahman berkata, dia mewakili 17 pemain lagi membuat laporan polis ke atas Ahmad Amizal dan Timbalannya, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan.

Katanya, kedua-dua mereka bertanggungjawab di atas kemelut melanda PNL2 sehingga kesemua mereka kini hilang pekerjaan.

Bagaimanapun Ridzuan merasakan tindakan pemain itu sebagai melulu kerana masih ada platform lain untuk mereka memanjangkan isu berkenaan termasuk ke pengetahuan Jawatankuasa Status Pemain FAM.

"Sebenarnya masih ada ruang untuk bawa ke pengetahuan Jawatankuasa Status FAM dan tidak perlu terus buat laporan polis. Tidak pernah lagi dalam sejarah perkara ini berlaku dan ini pun kali pertama saya dengar ia berlaku.

"Kalau tidak sengaja, mesti bawa ke Jawatankuasa Status FAM dan laporan polis patutnya perlu dibuat jika tidak berpuas hati dengan keputusan FAM," katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X