Rabu, 27 Februari 2019 | 12:27am
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan membuat laporan polis menyangkal dakwaan penipuan kontrak dan penyelewengan gaji pemain di Kuala Lumpur. - Foto Mahzir Mat Isa

Abdul Karim turut buat laporan polis

 

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan 'mengotakan janji' membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan pihaknya menyeleweng wang gaji pemain Northern Lion 2 (PNL2), sebentar tadi. 

Tindakan itu dibuat Mohd Abdul Karim selepas 18 pemain pasukan PNL2 yang diketuai bekas kaptennya, Ezzrul Ikmanizar Abd Rahman membuat laporan polis ke atas pengurusan PFA di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, kelmarin. 

Laporan berkenaan membabitkan bekas Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie dan Abdul Karim atas dakwaan mereka berdua melakukan penipuan kontrak dan penyelewengan gaji pemain.  

Sebagai menafikan dakwaan itu, Mohd Abdul Karim membuat laporan polis di Balai Polis Travers bagi menyangkal dakwaan kumpulan pemain terbabit.

"Saya ke Balai Polis Travers ini untuk membuat laporan polis berkenaan laporan (polis) daripada pemain PNL2 yang dilakukan di Kangar mengenai penyelewengan duit RM11,000. 

"Laporan polis ini sebagai penafian atas pertuduhan kepada saya dan kami serahkan kepada pihak polis untuk buat siasatan selanjutnya. Saya akan bersedia bekerjasama dan (akan) menyerahkan bukti berkaitan kerana urusan kewangan diuruskan bendahari PFA sendiri.

"(Laporan polis) ini adalah untuk menafikan apa-apa pertuduhan kepada saya dan demi menjaga imej termasuk imej Persatuan Bola Sepak Perlis sendiri," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di sini. 

Sebelum ini, PFA dilanda kemelut tunggakan pembayaran gaji pemain selepas Ahmad Amizal gagal melangsaikannya untuk lebih tiga bulan sejak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membenarkan Perlis bermain di Liga Perdana Malaysia 2019.

Berita Harian X