Rabu, 27 Februari 2019 | 8:35pm
Sidang media bersama Ketua Jurulatih MIB FC, Hasmawi Hassan di MIB College. - Foto Saifullizan Tamadi

Maaf, kami dipergunakan - Hasmawi

 

KUALA LUMPUR: Bekas pegawai khas mantan Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Hasmawi Hassan tampil memohon maaf kepada semua yang terbabit dalam skuad itu sambil mengakui pemain, jurulatih dan dirinya sudah dipergunakan sehingga dipalit imej buruk.

Sebagai pemain pemain yang menjadi orang paling kanan kepada presiden, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie, Hasmawi mengakui berasa ralat dan sedih apabila langkahnya untuk melihat kemajuan bola sepak negara akhirnya menemui jalan salah.

Atas dasar tanggungjawab, Hasmawi menuntut Ahmad Amizal supaya tidak lepas tangan kerana semua yang terjadi adalah daripada 'asuhannya' hingga memberi kesan besar kepada industri bola sepak khususnya di negeri itu.

"Saya merasakan dia mengguna pakai kami. Ia babitkan nama saya dan sememangnya amat terkesan apabila semua rakan-rakan kami teraniaya. Bila tiba masa ini yang berlaku dan jauh dari sudut hati memang saya sedih. Saya sedih sebab ramai yang teraniaya.

"Saya mohon maaf kepada seluruh peminat bola sepak khususnya rakyat Perlis, sahabat saya, pemain, jurulatih. Saya hanya menjalankan tugas sekadar termampu dengan saya ditugaskan lebih kepada penasihat (babitkan soal bola sepak) tanpa menyentuh soal pengurusan serta kewangan.

"Tetapi (daripada apa yang berlau) kesannya cukup besar terhadap individu terbabit dan ia boleh merosakan pemain bola sepak selain menjatuhkan rumah tanga orang kerana di belakang pemain ada orang yang perlu diberi makan.

"Namun hingga sekarang dia (Ahmad Amizal) tidak buat apa-apa tindakan. Kepada Datuk, 'keluarlah' untuk pikul tanggungjawab apa yang sudah dilakukan," katanya pada sidang media, hari ini.

Menerusi laporan terdahulu, Perlis berterusan dihimpit masalah tunggakan gaji hingga memaksa Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyingkiran mereka daripada Liga Perdana musim ini.

Situasi pemain yang berdepan masalah gaji bertambah teruk apabila Ahmad Amizal melepaskan jawatan selepas kira-kira empat bulan.

Ketika ditanya kenapa memilih untuk bekerjasama dengan PFA, Hasmawi yang juga jurulatih Kolej Malaysian Integrated Business (MIB) berkata, beliau tiada hak untuk mempersoalkan pemilihan Ahmad Amizal yang dibuat ahli gabungan PFA.

Dalam masa sama, Hasmawi berkata tidak ada masalah jika PFA mahu mengadakan Kongres Luar Biasa (EGM) jika itu jalan terbaik bagi menyelamatkan bakat bola sepak di negeri itu.

"Kita tidak semak semula kerana dia dipilih tanpa bertanding dan kita jangkakan dia memang berkemampuan kerana kita tidak boleh menafikan keputusan PFA. 

"Benda ini turut babitkan anak Perlis jadi kita harapkan kerajaan negeri untuk menyakinkan MFL yang mereka mampu ambil alih pucuk pimpinan bagi meneruskan perjalanan PFA," katanya.

Berita Harian X