X
Khamis, 28 Februari 2019 | 1:24pm
PEMAIN FELDA United, Hadin Azman (kanan) meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Perak pada saingan Liga Super di Stadium Perak, minggu lalu. - Foto Effendy Rashid
PEMAIN FELDA United, Hadin Azman (kanan) meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Perak pada saingan Liga Super di Stadium Perak, minggu lalu. - Foto Effendy Rashid

The Fighters buru kemenangan pertama 

KUANTAN: Selepas empat perlawanan tanpa kemenangan, FELDA United FC memburu tiga mata pertama saingan Liga Super musim ini di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka, Maran Sabtu ini.

Kapten The Fighters, Hadin Azman berkata, kelab itu akan memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mengecewakan PJ City FC.

"Dengan tiga mata yang diraih termasuk dua keputusan seri di tempat lawan, kami tidak mahu tercicir tiga mata di Jengka untuk memastikan FELDA United berada pada kedudukan terbaik.

"Biarpun PJ City dilihat mempamerkan prestasi amat baik, ia adalah peluang untuk membalas kekecewaan selepas seri 1-1 dengan PKNP FC di Jengka pada 10 Februari lalu.

"Kejayaan mengikat Perak minggu lalu juga memberi suntikan semangat kepada kami untuk tampil dengan prestasi lebih baik," kata Hadin yang juga bekas pemain Harimau Muda B.

Hadin yang menjaringkan tiga gol setakat ini, berkata tahap keyakinannya semakin bertambah untuk meneruskan prestasi cemerlang itu.

Katanya, jaringan itu bukan saja untuk misi peribadi tetapi lebih kepada kejayaan buat The Fighters yang mengharapkan kemenangan pertama.

"Pada perlawanan sabtu ini, kami akan melakukan yang terbaik selepas beraksi dua perlawanan berturut-turut di tempat lawan ketika tewas 0-4 kepada Kedah dan seri 1-1 dengan Perak," katanya.

Berita Harian X