Ahad, 3 March 2019 | 1:26am
UNAI Emery. - Foto AFP
UNAI Emery. - Foto AFP

Emery harap VAR dipercepat

LONDON: Pengurus Arsenal, Unai Emery berharap penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) dipercepatkan dalam Liga Perdana Inggeris selepas skuad kendaliannya seri 1-1 dengan Tottenham, malam tadi.

Arsenal mendahului menerusi jaringan Aaron Ramsey pada minit ke-16 tetapi Spurs menyamakan kedudukan pada minit ke-74 menerusi penalti Harry Kane.

Begitupun ramai merasakan penalti yang diperoleh Tottenham sepatutnya dibatalkan susulan ofsaid yang berpunca daripada sepakan percuma tetapi tanpa VAR, pengadil Anthony Taylor kekal dengan keputusan penjaga garisan.

Kontroversi tidak berakhir di situ apabila Arsenal memperoleh penalti pada penghujung permainan selepas Davinson Sanchez menjatuhkan Pierre-Emerick Aubameyang tetapi ia membabitkan terjahan yang tidak keras.

Tetapi penjaga gol Tottenham, Hugo Lloris menjadi wira pasukannya dengan menyelamatkan jaringan berkenaan.

“Sebulan lalu saya berkata kepada semua orang yang VAR perlu dipercepatkan, ia sukar buat pengadil,” kata Emery. “Kamu boleh menganalisa daripada televisyen dan adalah mudah tetapi pengadil tidak boleh menggunakannya sekarang.

“Mungkin perlawanan hari ini berbeza menggunakannya tetapi saya difahamkan ia sukar. Pengadil (Taylor) mempunyai personaliti yang hebat. Tetapi tidak mudah untuk mengimbangi dua pasukan tetapi saya menggemarinya.”

Keputusan tidak menggugat kedudukan Spurs di tangga ketiga tetapi menyebabkan Gunners terlepas kedudukan keempat kepada Manchester United.

Bos Spurs, Mauricio Pochettino dalam pada itu memuji Lloris yang bangkit selepas mengharungi minggu yang mengecewakan apabila tewas kepada Chelsea, pertengahan minggu lalu.

“Ya, Lloris adalah hadiah yang besar buat saya,” kata Pochettino yang menyambut hari lahirnya yang ke-47, semalam. “Saya gembira kerana kami tidak sepatutnya tewas, kami lebih baik daripada mereka dan kerana itu memalukan jika kami tewas dengan cara itu.” - AFP

Berita Harian X