Selasa, 5 March 2019 | 1:12pm
JURULATIH skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe. - Foto Iqmal Haqim Rosman.

Separuh muka baharu hadapi Piala Airmarine

 

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya nyata berwajah lebih ‘segar’ selepas membariskan hampir separuh muka baharu bagi mengharungi saingan Piala Airmarine 2019 bermula 20 Mac ini.

Menerusi satu kenyataan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe menyenaraikan 12 pemain baharu iaitu tiga dari Selangor – Abdul Latiff Suhaimi, Faiz Nasir dan Abdul Halim Saari; dua pemain Pahang – Matthew Davies dan Nor Azam Abdul Azih; serta dua pemain Kedah – penjaga gol Ifwat Akmal Chek Kassim dan Rizal Ghazali.

Selain itu, lima pemain lagi termasuk Hadin Azman (Felda United), Firdaus Saiyadi (Perak), Hafiz Ramdan (PKNP FC), Nicholas Swirad (PKNS FC) dan S Kumaahran (JDT II).

Daripada senarai 25 pemain dipanggil untuk menghadapi saingan empat penjuru itu, Cheng Hoe mengekalkan 13 pemain skuad naib juara Piala AFF 2018 manakala 10 pemain lagi tidak dapat bersama skuad senior kali ini.

Empat daripadanya ialah Syamer Kutty Abba, Akhyar Abdul Rashid, Safawi Rasid dan Syahmi Safari yang menyertai skuad Bawah 22 tahun (B-22) bagi mengharungi pusingan Kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020.

Enam pemain tidak dipanggil Cheng Hoe iaitu Farizal Marlias, Aidil Zafuan Abd Radzak, Adam Nor Azlin, Amirul Azhan Aznan, Syafiq Ahmad dan Shahrel Fikri Md Fauzi.

Skuad kebangsaan bakal menghadapi dua perlawanan Piala Airmarine 2019 iaitu bertemu Singapura pada perlawanan pertama 20 Mac dan berdepan Oman atau Afghanistan pada perlawanan kedua 23 Mac.

Selepas itu, satu lagi perlawanan bakal dihadapi mereka iaitu persahabatan antarabangsa ‘A’ bertemu Nepal pada 26 Mac sebelum pemain dilepaskan ke kelab masing-masing.

 

SENARAI PEMAIN SKUAD KEBANGSAAN

Penjaga gol: Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Ifwat Akmal Chek Kassim, Khairul Fahmi Che Mat

Pertahanan: Shahrul Saad, Nazirul Naim Che Hashim, Matthew Davies, Abdul Latiff Suhaimi, Rizal Ghazali, Nicolas Swirad, Syazwan Andik Ishak, Irfan Zakaria

Tengah: Kenny Pallraj, Firdaus Saiyadi, Nor Azam Abdul Azih, Faiz Nasir, Abdul Halim Saari, Akram Mahinan

Sayap: Mohamadou Sumareh, Syazwan Zainon, Hafiz Ramdan, Hadin Azman

Penyerang: Norshahrul Idlan Talaha,Zaquan Adha Abd Radzak, Ahmad Hazwan Bakri, S Kumaahran

Berita Harian X