Rabu, 6 March 2019 | 12:41pm
KETUA Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak. - Foto Amran Hamid.

Strategi berbeza bertemu Pahang - Aidil

ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak bakal menggunakan strategi baharu bagi mengukuhkan benteng pertahanan skuad Lang Merah dalam aksi perlawanan Liga Super menentang juara Piala FA musim lalu Pahang di Kuantan, Jumaat ini.

Aksi tanpa import pertahanan Renan Alves di Kuantan yang kini menjalani hukuman penggantungan akibat kad merah ternyata memberi cabaran baharu buat Aidil dalam menyiapkan 'ramuan' baharu selepas Kedah berjaya mengekalkan rekod terbaik dengan jumlah satu gol bolos dalam lima perlawanan pertama Liga Super.

"Untuk beraksi bertemu Pahang di tempat lawan, tentunya ia satu cabaran besar dan semestinya kita harus memiliki strategi berbeza yang perlu kita bawa ke sana untuk memburu kemenangan."

"Bagi penggantian Alves, saya belum membuat keputusan lagi kerana kita belum ada jawapan yang pasti siapa yang akan mengisi posisi berkenaan."

"Kita masih ada beberapa hari lagi untuk latihan dan selepas itu pemain yang mampu menunjukkan prestasi terbaik semasa latihan bakal dipilih."

Aidil juga tidak mahu terlalu memikirkan sangat ketiadaan Alves kerana baginya hal itu sudah berlaku sebaliknya beliau mahu semua pemain terus fokus untuk menghadapi perlawanan.

"Kita akan gunakan apa sahaja peluang yang kita miliki kerana bolasepak adalah berkaitan 11 pemain secara keseluruhan di atas padang."

"Saya melihat Pahang satu pasukan yang bakal memberi cabaran hebat dalam semua posisi untuk Kedah dan saya menjangkakan satu perlawanan yang lebih mencabar berbanding mana-mana perlawanan sebelum ini."

Disebalik tekanan yang sudah mula dirasai, Aidil tetap mahu skuadnya terus bekerja keras dalam latihan dan mencapai sasaran membawa pulang tiga mata.

"Saya telah memberi motivasi tambahan serta sokongan moral kepada semua pemain semalam dan memaklumkan agar mereka harus terus memiliki kekuatan bersama sebagai satu pasukan jika mahukan kejayaan," kata Aidil.

Berita Harian X