Khamis, 7 March 2019 | 1:30am
PENGERUSI Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge. - Foto Bavarian Football Works
PENGERUSI Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge. - Foto Bavarian Football Works

Rummenigge bengang keputusan Loew

BERLIN: Pengerusi Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge mengkritik tindakan dan masa yang diambil jurulatih Jerman, Joachim Loew untuk mendedahkan pelannya menyingkirkan Thomas Mueller, Jerome Boateng dan Mats Hummels daripada skuad kebangsaan.

Rummenigge ‘berang’ apabila Loew membuat pengumuman yang mengejutkan semalam, seminggu sebelum aksi kedua peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Liverpool di gelanggang sendiri selain ketika pemburuan kejuaraan Bundesliga sedang hangat.

“Kami menganggap masa dan situasi pengumuman itu, kedua-duanya kepada pemain dan orang awam sebagai boleh dipersoalkan,” kata Karl-Heinz Rummenigge dalam satu kenyataan bersama Pengarah Sukan, Hasan Salihamidzic.

“Perlawanan antarabangsa terakhir untuk skuad kebangsaan Jerman adalah pada 19 November 2018, tiga setengah bulan yang lalu.”

Loew mengunjungi Munich, semalam untuk memberitahu Mueller, 29, Boateng dan Hummels, yang masing-masing berusia 30 tahun dan mempunyai 246 penampilan untuk Jerman di antara mereka yang karier mereka di pentas antarabangsa sudah berakhir.

Loew membuat pengumuman itu dengan skuad kendaliannya akan menanti kunjungan Serbia bagi aksi persahabatan 20 Mac ini sebelum mengharungi perlawanan kelayakan Euro 2020 di gelanggang lawan menentang Belanda, empat hari kemudian.

Pengendali berusia 59 tahun itu berkata beliau mahukan “permulaan baharu” selepas sentiasa dihimpit tekanan sejak pasukannya tersingkir di peringkat kumpulan Piala Dunia 2018 di Russia.

Mueller, Boateng dan Hummels adalah tonggak Jerman yang menjulang Piala Dunia 2014 di Brazil tetapi trio berkenaan beraksi buruk pada kempen tahun lalu.

Selain Rummenigge, bekas pemain tengah Bayern dan Jerman, Lothar Matthaeus turut mempersoalkan masa yang dipilih Loew untuk membuat pengumuman berkenaan. - AFP

Berita Harian X