Jumaat, 8 March 2019 | 12:58pm
PEMAIN FELDA United, Muhammad Hadin Azman (kiri) diasak pemain Perak. - Foto Effendy Rashid.

The Fighters tekad calar reputasi PKNS FC

KUANTAN: Biarpun PKNS FC dilihat memiliki kelebihan, FELDA United FC tetap percaya mampu mencatat keputusan positif apabila kedua-dua bertemu di Stadium Shah Alam, malam esok.

Kelebihan yang dimiliki skuad bimbingan Datuk K Rajagobal itu tidak menghalang The Fighters daripada mengutip mata sekali gus mengukuhkan kedudukan lebih baik dalam saingan Liga Super musim ini.

Justeru, kapten pasukan, Hadin Azman mahu rakan sepasukan dapat mempamer persembahan cemerlang dan komited untuk menghalang tuan rumah daripada mengutip tiga mata.

"Saya harap percaturan jurulatih (Mohd Nidzam Jamil) menjadi untuk memastikan kami tidak keciciran mata kerana PKNS diakui sebuah pasukan yang bagus.

"Kami perlu bekerja keras dan tidak melakukan banyak kesilapan bagi menyekat lawan yang dilihat memiliki kelebihan apabila beraksi di tempat sendiri.

"Namun, dengan keputusan positif yang diraih dalam lima perlawanan lalu termasuk mencatat kemenangan pertama ketika menewaskan PJ City FC minggu lalu, ia menyuntik semangat kami untuk beraksi dengan lebih baik terutama meraih mata di tempat lawan," katanya.

Ditanya kekuatan PKNS, Hadin yang juga bekas pemain Harimau Muda B berkata, lawannya yang memiliki barisan pemain berpengalaman dan jentera serangan perlu disekat dan kekal fokus sepanjang 90 minit perlawanan.

Katanya, selepas meletakkan The Fighters di tangga ketujuh, tiada yang mustahil untuk memastikan skuad itu terus memacu kedudukan lebih baik.

"Saya juga mengharapkan mampu untuk menjaringkan gol dan begitu juga rakan lain," kata pemain berumur 25 tahun itu.

#kw Hadin, FELDA United, Liga Super

Berita Harian X