Jumaat, 8 March 2019 | 11:19pm
PEMAIN Pahang, Dickson Nwakaeme (tengah) diasak pemain Kedah, Muhammad Shakir Hamzah (kanan) pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi. - Foto Farizul Hafiz Awang

Pahang rampas teraju Liga Super

KUANTAN: Skuad Pahang mengutip tiga mata selepas menewaskan Kedah 1-0 pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur sebentar tadi hasil jaringan lewat permainan Zuhair Aizat Mohd Nazri.

Peluang terbaik Pahang bermula daripada tandukan Dickson Nwakaeme yang sedikit tersasar selepas menerima hantaran daripada Nor Azam Azih menerusi sepakan sudut pada minit ke-23.

Tiga minit kemudian, pengadil perlawanan Mohammad Zamzaidi Katimin memberikan sepakan penalti selepas kapten Lang Merah, Baddrol Bakhtiar menjatuhkan Nwakaeme di dalam kotak penalti.


PEMAIN Pahang, Nor Shahrul Idlan Talaha (kiri) diasak pemain Kedah, Mohd Alif Mohd Yusof pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi. - Foto Farizul Hafiz Awang

Namun, sepakan Norshahrul Idlan Talaha ditepis keluar penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.

Minit ke-34, Zaquan Adha Abd Razak hampir menjaringkan gol buat Kedah namun bola rembatan penyerang itu dari luar kotak penalti sedikit tersasar di sebelah kanan tiang gol tuan rumah walaupun penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias sudah tertewas.

Bersambung babak kedua, skuad kendalian Dollah Salleh menggandakan asakan ke kubu lawan tetapi disekat jentera pertahanan yang dilihat lebih bersedia menggagalkan percubaan yang diketuai oleh Nwakaeme.

Lima minit sebelum tamat perlawanan, pemain gantian Zuhair Aizat memastikan Pahang meraih tiga mata di laman sendiri sekali gus merampas teraju Liga Super daripada Johor Darul Ta’zim yang akan beraksi menentang PKNP malam esok.


PEMAIN Pahang, Goulon Herold (kiri) mengasak penjaga gol pasukan Kedah, Mohd Ifwat Akmal (tengah) pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi. - Foto Farizul Hafiz Awang

Berita Harian X