Sabtu, 9 March 2019 | 11:41pm
PEMAIN PKNS FC, Kpah Sean Sherman diasak pemain FELDA United, Masaki Watanabe (kanan) pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, sebentar tadi. - Foto Sairien Nafis

PKNS makin garang

SHAH ALAM: PKNS FC mula mempamerkan kemampuan sebenar untuk tampil selaku pencabar Liga Super dan kali ini menjadikan FELDA United sebagai mangsa ketiga musim ini dengan kemenangan 2-0 di Stadium Shah Alam sebentar tadi.

Walaupun bermula perlahan musim ini, kejayaan membelasah Selangor 4-0 sebelum ini seakan memberi tonik buat skuad Semut Merah untuk kembali menemui nota kemenangan selepas seri tanpa jaringan dengan Kedah, Sabtu lalu.

Terdahulu, aksi berlangsung seimbang tetapi tuan rumah lebih bernasib baik untuk mendahului permainan menerusi tonggak tengah, Romel Oswaldo Ramirez pada minit ke-23.

PEMAIN PKNS FC, Romel Oswaldo Ramirez meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang FELDA United pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, sebentar tadi. - Foto Sairien Nafis

Tersentak dengan jaringan PKNS FC, FELDA United bangkit mengatur serangan sebaliknya mereka dikecewakan dengan penyudah tumpul.

Hasrat PKNS FC menambah gol kedua di babak pertama gagal selepas sepakan percuma Chan Vathanaka pada minit terakhir sebelum rehat sekadar menggegar tiang gol.

Bersambung babak kedua, tuan rumah hanya memerlukan seminit untuk menambah derita FELDA United dan kali ini menerusi pertahanan import, Tamirlan Kozubaev.

Minit ke-80, penjaga gol PKNS FC Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin bertindak pantas melayangkan badan untuk menepis keluar percubaan Masaki Watanabe di atas garisan gol.

PEMAIN PKNS FC, Tamirlan Kozubaev (kanan) diasak pemain FELDA United, Abdul Azim Rahim pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, sebentar tadi. - Foto Sairien Nafis

Berita Harian X