Ahad, 10 March 2019 | 7:37am
Penyerang Manchester City, Sergio Aguero (tengah) menanduk bola ke gawang Watford pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi. - Foto Reuters
Penyerang Manchester City, Sergio Aguero (tengah) menanduk bola ke gawang Watford pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Gol kontroversi Sterling teruskan penguasaan City

MANCHESTER, United Kingdom: Pep Guardiola meminta maaf jika Manchester City diberikan ‘pertolongan’ ketika mencatat kemenangan 3-1 mengatasi Watford, namun menegaskan skuadnya berhak menang dan membuka jurang empat mata di persada Liga Perdana.

City terpaksa bekerja keras untuk memecahkan benteng pertahanan Watford sehingga gol kontoversi Raheem Sterling pada minit ke-46 mengubah semuanya.

Sterling sebenarnya ofsaid dalam usahanya mengatasi penjaga gol Ben Foster, tetapi keputusan itu diketepikan pengadil, Paul Tierney selepas berbincang dengan pembantunya.

Sterling berada dalam kedaan offsaid ketika dia menyambar hantaran Sergio Aguero tetapi bola berkenaan disepak ke arahnya oleh pertahanan Daryl Janmaat, dan disebabkan itu Tierney menyatakan Sterling berada dalam keadaan tidak ofsaid.

Sterling kemudiannya melengkapkan hatrik ketika City terus memberi tekanan terhadap pasukan tangga kedua, Liverpool, yang akan menanti kehadiran Burnley di Anfield malam ini.

Pemain Manchester City, Rahem Sterling (tengah) menjaringkan gol ketika menentang Watford pada aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi. - Foto REUTERS
Pemain Manchester City, Rahem Sterling (tengah) menjaringkan gol ketika menentang Watford pada aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

Guardiola mengharapkan keseimbangan perlawanan tidak diganggu dengan peristiwa itu dan menyokong pengenalan VAR dalam Liga Perdana musim depan walaupun wujud kritikan ketika digunakan dalam Liga Juara-Juara minggu ini.

“Jika gol pertama itu ofsaid, saya minta maaf,” kata pengurus City itu.

“Sepatutnya ada penyelesaian mudah dan akan ada musim depan. Dengan VAR, tidak akan ada masalah, ia lebih adil.

“Pada permulaan musim, Manchester City bersetuju jika VAR digunakan. Sebahagian kelab tidak mahu. Saya harap musim depan sama seperti negara Eropah lain, kami boleh menggunakannya.” - AFP

Berita Harian X