Isnin, 18 March 2019 | 8:01pm
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika sidang media selepas bertemu skuad bawah 23 di Hotel PJ Hilton. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

FAM sudah ada SOP pengambilan pemain naturalisasi

 

PETALING JAYA: Walaupun mengakui kepentingan pemain naturalisasi untuk meningkatkan kualiti bola sepak negara, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan badan induk itu tidak mahu bergantung dengan ‘pemain import’ buat selama lamanya.

Justeru Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan, pihaknya memiliki tiga jenis pendekatan iaitu program bagi jangka masa pendek, pertengahan dan panjang dengan mereka sudahpun menyiapkan kertas kerja untuk prosedur operasi standard (SOP) bagi pengambilan pemain naturalisasi.

“Bukan untuk kejayaan segera tetapi kita memang perlukan pemain naturalisasi. Kita juga mungkin tidak mahukan begitu ramai sehingga 20 atau 30 pemain.

“Apabila sampai masanya, kita akan berhenti (guna pemain naturalisasi), sebab itulah kita ada pelan jangka masa pendek, pertengahan dan panjang.

“Kita tidak mahu gagal seperti beberapa negara yang pernah mengambil pendekatan sama dan kita mengadakan kajian mendalam berhubung perkara ini,” katanya pada sidang media di sini.

Mengulas lanjut berhubung kertas kerja terbabit, Hamidin berkata ia akan dibentangkan dalam Mesyuarat Exco yang akan berlangsung pada 30 Mac ini sebelum mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan bagi menjayakan program naturalisasi pemain kebangsaan.

“Isu ini membabitkan kelulusan kerajaan kerana ada kriteria tertentu di mana mungkin ada keistimewaan untuk kes sebegini.

“Kita juga turut mengambil berat mengenai kebimbangan sekiranya pemain naturalisasi mengambil kesempatan mendapatkan pasport Malaysia untuk beraksi di negara lain,” katanya.

Setakat ini, Malaysia sudah memiliki seorang pemain naturalisasi iaitu pemain sayap kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh yang membarisi skuad negara di pentas Piala AFF Suzuki 2018.

Antara kriteria mendapatkan status naturalisasi adalah pemain terbabit perlu tinggal di negara ini selama lima tahun selepas berusia 18 tahun.

Selepas Sumareh, antara beberapa pemain dilihat berpotensi untuk ‘ditukar kerakyatan’ adalah penyerang Kuala Lumpur, Guilherme de Paula dan pemain tengah Melaka United (MU), Liridon Krasniqi.

 

 

Berita Harian X