X
Selasa, 19 March 2019 | 8:22pm
Bekas pemain tengah Sepanyol, Xavi Hernandez. - Foto Getty Image
Bekas pemain tengah Sepanyol, Xavi Hernandez. - Foto Getty Image

Tak relevan 48 pasukan Piala Dunia 2022 - Xavi

MUMBAI: Bekas pemain tengah Sepanyol, Xavi Hernandez berkata Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) perlu menolak cadangan untuk meningkatkan jumlah pasukan yang beraksi di Piala Dunia 2022 Qatar.

Piala Dunia 2026 yang dianjurkan secara bersama Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada akan menampilkan 48 pasukan berbanding tradisi 32 tetapi Presiden FIFA, Gianni Infantino pada minggu lalu berkata peningkatan untuk edisi 2022 turut ‘berkemungkinan.’

Bekas legenda Barcelona, Xavi, yang memenangi Piala Dunia 2010 bersama Sepanyol dan meneruskan kariernya di Qatar bersama kelab utama, Al Sadd berkata 48 pasukan bagi saingan tahun depan bukan pilihan yang betul.

“Ia terlalu banyak dan terlalu panjang. Bayangkan 48 pasukan di Qatar, ia tidak begitu bagus bagi pendapat saya,” katanya.

“Tetapi ia adalah pilihan penganjur untuk menentukan, tetapi buat masa sekarang Qatar melakukan segala-galanya untuk bersedia bagi 32 pasukan dan ia pasti sukar untuk mengubahnya bagi mengisi lebih banyak pasukan.

“Selain itu, baik untuk bola sepak jika ia hanya membabitkan 32 pasukan. Ia lebih daripada mencukupi.”

Keputusan sama ada FIFA atau Qatar bersetuju dengan cadangan berkenaan hanya akan diketahui pada sesi undian yang dilakukan di Kongres badan induk itu di Paris pada 5 Jun ini.

Mengulas lanjut, Xavi yang menjadi duta bagi Qatar 2020 juga menjangkakan pasukan kebangsaan negara itu sedang melakukan persiapan yang terbaik bagi mengharungi saingan berkenaan.

Negara teluk itu mengejutkan juara empat kali, Jepun untuk menjulang trofi Piala Asia tahun ini dan Xavi tidak terkejut dengan kejayaan berkenaan.

“Saya fikir bola sepak di sana adalah teruk ketika saya datang,” kata pemain berusia 39 tahun itu. “Tetapi mereka meningkat dengan banyak dan mendadak serta pantas selepas itu, semua orang dapat melihatnya di Piala Asia.” - Reuters

Berita Harian X