Selasa, 19 March 2019 | 9:42pm
SETIAUSAHA Agong FAM, Stuart Ramalingam. - NSTP/Mahzir Mat Isa

FAM seru penyokong banjiri Stadium Nasional

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyeru penyokong bola sepak negara tampil memberi sokongan padu kepada pasukan Harimau Malaya dalam Piala Airmarine menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

FAM juga menafikan dakwaan kononnya pasukan bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya, dijadikan alat mengaut keuntungan, sehingga harga tiket dinaikkan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata dalam dunia bola sepak moden, pasukan bola sepak kebangsaan adalah produk utama mana-mana badan induk yang dipertanggungjawabkan mengurus tadbir bola sepak.

"Dari sudut pemasaran dan komersial, FAM perlu memaksimumkan nilai pasukan kebangsaan bagi menjana pendapatan dan mencari sumber kewangan untuk disalurkan semula ke dalam bentuk pembangunan pasukan kebangsaan pelbagai peringkat umur.

"Sebagai badan induk yang berdepan masalah kewangan terhad, FAM mengalu-alukan tawaran pihak ketiga seperti ProEvents menganjurkan kejohanan sebegini.

"Bagi Piala AIRMARINE 2019, ProEvents sebagai promoter kejohanan ini mengambil risiko menganjurkan kejohanan sebegini dengan mencari sumber tajaan sendiri dan menanggung kos operasi penganjuran membawa masuk tiga negara ke Kuala Lumpur.

"Justeru, harga jualan tiket yang telah ditetapkan itu adalah bagi menampung kos-kos yang berkaitan. Sebelum ProEvents meraih apa-apa keuntungan, mereka perlu menampung terlebih dahulu kos yang telah dibelanjakan bagi menjayakan kejohanan ini," katanya.

FAM menerima RM300,000 daripada ProEvents sebagai yuran penganjuran dan wang berkenaan akan digunakan untuk membiayai kos operasi, bonus pasukan selain dikembalikan kepada bola sepak menerusi pengurusan pasukan-pasukan kebangsaan yang lain iaitu pasukan B-16, B-19, wanita dan juga futsal.

Harga tiket RM35 untuk menyaksikan dua perlawanan bagi setiap hari perlawanan Piala AIRMARINE 2019 ini seharusnya tidak dijadikan isu oleh penyokong yang sentiasa berdiri teguh di belakang skuad Harimau Malaya.

Sebagai perbandingan, pada tiga perlawanan persahabatan antarabangsa tahun lalu yang ditanggung sepenuhnya kos penganjuran oleh FAM dengan mengenakan harga tiket terbuka di antara RM20 dan RM30, FAM telah menanggung kerugian daripada hasil jualan tiket berkenaan selepas ditolak segala kos penganjuran.

Ketika menentang Bhutan di Stadium Nasional pada 1 April tahun lalu, sebanyak 3,187 tiket dijual dengan jumlah kutipan RM81,460 tetapi FAM menanggung kerugian sebanyak RM100,464.88 selepas menolak kos, termasuk sewaan stadium, penginapan dan tiket penerbangan pasukan pelawat serta elaun pegawai pertandingan.

Seterusnya pada perlawanan bertemu Fiji di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 5 Julai 2018, tiket terjual adalah 1,220 dengan kutipan sebanyak RM30,550 dan FAM telah menanggung kerugian sebanyak RM71,712.85.

Bagi pertemuan dengan Maldives di Stadium Nasional pada 3 November 2018, tiket yang terjual ialah 6,173 dengan kutipan sebanyak RM113,705. FAM menanggung kerugian RM26,435.68.

"Di sebalik kos penganjuran yang tinggi, FAM sentiasa mentikberatkan usaha memenuhi tuntutan semasa dan mengambil kira pandangan penyokong yang mendesak sistem tiket di stadium dipertingkatkan," katanya.

Sebagai perbandingan, negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia mengenakan harga tiket yang lebih mahal untuk perlawanan antarabangsa, dengan anggaran sekitar RM28 hingga RM84 sekeping.

Dalam Piala AFF 2018, Vietnam mengenakan harga tiket dari RM36 hingga RM108 sekeping.

Berita Harian X