Rabu, 20 March 2019 | 1:06am
MOHAMED Salah mahu setanding Messi dan Ronaldo. - Foto AFP

'Salah nak sangat ikut Messi, Ronaldo'

LONDON: Mohamed Salah ‘berusaha terlalu keras’ untuk tidak ditinggalkan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, kata bekas penyerang Liverpool, Emile Heskey.

Penyerang Mesir itu meletakkan namanya di pentas global pada musim 2017-18 selepas meledak 44 gol bersama Liverpool musim lalu.

Justeru, Reds menjangkakan jumlah yang sama atau lebih bagi musim keduanya tetapi dia kini sudah mengharungi tujuh perlawanan tanpa meledak sebarang gol ketika pengurus, Jurgen Klopp mengharap jentera serangan Reds terus berbisa bagi memburu kejuaraan.

Liverpool masih berjuang bagi pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara dengan Salah sudah meledak 20 gol tetapi kemarau yang dihadapinya ketika ini adalah yang terburuk.

“Dia masih menjaringkan 17 gol (Liga Perdana) jadi dia tidak mengharungi musim yang buruk tetapi dia cuma mungkin terlalu bekerja keras,” kata Heskey yang mengakui Salah perlu lebih mementingkan diri sendiri di depan gawang.

“Dia melihat kembali musim sebelum ini apabila dia menjaringkan semua gol ini, keyakinannya tinggi. Dia tidak memperoleh tuah yang sama sekarang, tetapi dia masih mahukan gol-gol itu dan semua orang masih memandang kepadanya sebagai pemain yang memburu gol.

“Ada ketika apabila dia sepatutnya melakukan hantaran tetapi dia mahu menjaringkan gol. Itu adalah bahaya. Apabila kamu turun ke padang, kamu memerlukan keseimbangan.

“Kamu perlu tahu bila untuk melakukan hantaran, bila untuk melakukan rembatan. Kamu perlu ingat yang kita bercakap dia memiliki ketajaman setaraf Messi dan Ronaldo, jadi itu mungkin berada dalam kepalanya juga, jadi dia mahu menjaringkan gol seperti mereka semua.” - AGENSI

Berita Harian X