Rabu, 20 March 2019 | 6:35pm
GAMBAR fail, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie. - Foto Azhar Ramli

Isu PFA: Ahmad Amizal, jangan lepas tangan

KANGAR: Selepas 26 hari bekas Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie meletakkan jawatannya, dia seakan 'terselamat' daripada menanggung kerosakan yang dilihat berpunca daripada tindakannya.

Berikutan itu, pemain skuad Singa Utara yang masih belum mempunyai pasukan untuk bermain pada musim ini sudah mula ‘berbunyi’ supaya badan induk itu untuk melakukan sesuatu agar Ahmad Amizal tampil memperbetulkan keadaan.

Pemain pertahanan Perlis, Amirizdwan Taj Tajuddin berkata, kerosakan yang ditimbulkan oleh Ahmad Amizal tidak seharusnya dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan diambil ke atasnya.

"Dia tak boleh larikan diri macam itu sahaja selepas apa yang berlaku selama dia memegang PFA dalam tempoh hampir empat bulan. Jadi lelaki budiman, tampilkan diri perjelaskan keadaan yang sebenar dan selesaikan apa yang sudah dimulakan.

"Jadilah manusia yang bertanggungjawab dan bukannya menghilangkan diri selepas menganiaya banyak pihak," katanya ketika dihubungi NSTP.

Mengakui dirinya masih bergelut mencari pasukan baru untuk bermain pada musim ini, Amirizdwan mengharapkan sinar baru muncul buat dirinya bersama rakan senasib dan menegaskan PFA tidak boleh membiarkan Ahmad Amizal terlepas begitu sahaja tanpa sebarang tindakan yang diambil.

"Saya berharap PFA boleh memfailkan saman sivil ke atasnya sebab pengurusan yang membawanya masuk ke dalam PFA. Terlalu banyak kerosakan malah dia boleh menghancurkan karier pemain selepas apa yang berlaku," katanya.

Sebelum ini, Ahmad Amizal dilaporkan tidak boleh dikenakan sebarang tindakan oleh polis kerana kemelut yang berlaku antara dirinya bersama PFA bukanlah satu tindakan jenayah.

Bagaimanapun, pemain yang menandatangani kontrak boleh terus memfailkan saman sivil ke atasnya di mahkamah sekiranya mereka mahu kerana tindakan Ahmad Amizal itu hanya membabitkan pelanggaran kontrak antara majikan dan pekerja.

Berita Harian X