Khamis, 21 March 2019 | 7:58am
BEN Woodburn meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan. - Foto Reuters

Wales tanpa Bale atasi Trinidad

WREXHAM, United Kingdom: Wales terpaksa menunggu gol masa kecederaan menerusi pemain remaja Liverpool Ben Woodburn untuk menewaskan Trinidad dan Tobago 1-0 dalam aksi persahabatan awal pagi tadi.

Wales kendalian Ryan Giggs tidak menyenaraikan Gareth Bale, Aaron Ramsey dan David Brooks pada aksi persahabatan berkenaan, sebelum memulakan kempen kelayakan Euro 2020 menentang Slovakia di Cardiff Ahad ini.

Trinidad dan Tobago menghuni ranking ke-93 dunia – 74 anak tangga di bawah Wales – tetapi kelihatan seperti mampu mencatat keputusan seri di Racecourse Ground di mana pengendali mereka Dennis Lawrence, beraksi untuk Wrexham.

Perlawanan terakhir antara kedua-dua negara itu sebelum ini menyaksikan Bale muncul pemain termuda pada usia 16 tahun 315 hari, dengan Wales mengatasi Trinidad dalam aksi persahabatan di Austria pada tahun 2006 itu.

BEN Woodburn diasak pemain Trinidad dan Tobago pada aksi persahabatan awal pagi tadi. - Foto Reuters

Pada aksi awal pagi tadi, Trinidad hampir membuka jaringan menerusi Aubrey David namun Chris Gunter sempat mengeluarkan bola yang hampir melintasi garisan gol.

Namun gol tunggal perlawanan hadir pada minit kedua masa kecederaan apabila Woodburn memanfaatkan hantaran lintang Will Vaulks.

“Kita semua tahun bakatnya, dan jika dia beraksi dia akan menjaringkan gol,” kata Giggs berkenaan keputusannya tidak menyenaraikan Bale pada perlawanan itu.

“Tetapi saya mahu meringankan bebannya supaya apabila dia tidak dapat diturunkan, kami tidak hanya bergantung kepada seorang pemain sahaja.” – AFP

 

Berita Harian X