Sabtu, 23 March 2019 | 7:46pm
BINTANG Liverpool, Virgil van Dijk. - Foto EPA
BINTANG Liverpool, Virgil van Dijk. - Foto EPA

'Van Dijk perlu trofi untuk jadi legenda'

LONDON: Bintang Liverpool, Virgil van Dijk perlu menjulang trofi bagi memperoleh status legenda apabila kariernya berakhir, kata bekas pemain Belanda, Mario Melchiot.

Tonggak pertahanan Reds itu memenangi tiga gelaran Liga Perdana Scotland dan Piala Liga Scotland bersama Celtic tetapi masih belum meraih sebarang trofi di England.

Begitupun, sejak menyertai Liverpool daripada Southampton pada Januari tahun lalu, dia sudah mara ke final Liga Juara-Juara dan bersaing sengit dengan Manchester City bagi pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Dianggap antara pertahanan terbaik dunia ketika ini, Melchiot begitupun menegaskan gelaran penting buat Van Dijk bagi memahat namanya sebagai salah satu pemain terbaik di posisi itu dalam sejarah.

“Kini amat penting buatnya yang dia berada bersama pasukan yang memenangi trofi kerana ia meletakkan diri kamu sebagai yang terbaik,” kata Melchiot.

“Pada akhirnya, kamu boleh menjadi pertahanan yang hebat tetapi apabila kamu tambahnya dengan trofi, kemudian kamu akan menjadi salah seorang legenda dan legenda memenangi trofi.

“Kerana itulah saya fikir dia sudah pasti mempunyai semua potensi dan dia juga memiliki pengurus yang amat menyukainya dan membuatkannya bermain seperti dia sepatutnya bermain.

“Tetapi dia memerlukan trofi kerana itulah sebab mengapa dia bermain. Jika dia memberitahu kamu perkara yang berbeza, ia amat pelik bagi saya. Saya tidak boleh membayangkan pemain sepertinya tidak mahu menambah trofi dalam kariernya.”

Awal pagi esok, Van Dijk yang juga kapten Belanda akan mengemudi pasukan itu bertemu Jerman bagi aksi kelayakan Euro 2020 di gelanggang sendiri. - AGENSI

Berita Harian X